SEORANG pengarah syarikat minta dibicarakan kerana didakwa menawarkan rasuah berjumlah RM7.5 juta sebagai dorongan untuk seorang menteri mempercepatkan cadangan penjualan saham dan pengambilalihan konsesi daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (Menara KL).
Pengarah Urusan Hydroshoppe, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh yang syarikatnya telah mengambil alih konsesi itu, didakwa menawarkan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada bekas menteri komunikasi dan multimedia, Tan Sri Annuar Musa melalui pengarah MyCreative Ventures Tan Ser Lay.
Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM yang dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin, tawaran itu dibuat antara Julai dan Ogos tahun lalu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya, lapor Malaysiakini.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan menyiasat dakwaan berhubung penjualan saham yang mencurigakan dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara KL daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Telekom Malaysia (TM).
Leave a Reply