SATU daripada dua penyokong Perak FC yang maut dalam kemalangan selepas menonton perlawanan bola sepak antara pasukan mereka melawan Johor Darul Takzim (JDT), malam tadi pernah memuat naik hantaran untuk kekal menyokong pasukan mereka sehingga hujung nyawa.
Hantaran Facebook (FB) itu dimuat naik oleh mangsa bernama Faiz Bazli yang menyatakan; ‘Perak (Perak FC) sampei hujung nyawe (nyawa),”.
Faiz atau nama sebenarnya Muhammad Faiz Bazli Abdul Hamid, 25, serta seorang rakannya Izzwan Syamel Denial Ismail, 18, maut apabila motosikal ditunggang bergesel sesama sendiri di Jalan Susur Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara antara Bercham-Jelapang di sini.
Memetik laporan Harian Metro, Faiz Bazli dikesan memuat naik hantaran terbabit pada 26 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam, motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang Faiz Bazli menghala Jelapang dipercayai bergesel dengan motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggang oleh Izzwan Syamel.
“Selepas kedua-dua motosikal itu bergesel, sebuah lagi motosikal iaitu jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh remaja lelaki berusia 16 tahun turut terbabas ketika cuba sempat mengelak.
“Akibat kemalangan, Faiz Bazli dan Izzwan Syamel maut di lokasi kejadian, manakala penunggang Yamaha Y15ZR cedera dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut,” katanya, hari ini.
Yahya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, laman FB ‘Ultras’ Perak, The Supporters turut memuat naik ucapan takziah terhadap pemergian kedua-dua penyokong itu.
Ucapan takziah susulan pemergian dua sekawan itu turut dirakamkan oleh Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang menzahirkan ucapan takziah menerusi kenyataan di FB rasmi Perak FC, Perak Football Club.
“Saya mewakili pihak pengurusan, barisan jurulatih dan pemain menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan keluarga mangsa tabah menghadapi ujian besar ini.
“Sekali lagi, kami menghargai sokongan peminat Perak FC yang hadir setiap minggu untuk menyokong (skuad) The Bos Gaurus,” katanya.
Leave a Reply