20 tahun guna MyKad orang lain, warga India dihukum penjara

MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh di Melaka menjatuhi hukuman penjara 11 bulan terhadap seorang lelaki warga India kerana memiliki dan menggunakan kad pengenalan orang lain sejak lebih 20 tahun lalu.

Jahabudin Ahamed Hajmalgan, 42, yang juga penjual cendol dikenakan hukuman susulan mengaku salah di hadapan Majistret Sharda Sheinha Mohd. Suleiman selepas tuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, Jahabudin didapati memiliki MyKad palsu atas nama lelaki berusia 43 tahun dan beralamat di Jalan Tamby Chik Karim, Batu Berendam.

Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, pada 12.15 tengah hari, 31 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan jika disabitkan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, bapa kepada dua anak itu ditangkap ketika hadir di JPN untuk menukar kad pengenalan baharu sebelum dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN kerana memiliki MyKad orang lain.

Semakan rekod menunjukkan nombor kad pengenalan MyKad itu milik lelaki lain dan perbandingan kedua-dua cap ibu jari tertuduh juga tidak sepadan.

Perbandingan gambar imej dari Sistem AFIS (Sistem Pengenalan Cap Jari Automatik) juga tiada rekod.

Terdahulu, tertuduh yang berasal dari Theriruveli, Chennai, India dan kini menetap di Klang, Selangor merayu hukuman ringan kerana sudah insaf selain memberitahu dia berpuasa dan ingin menyambut Aidilfitri.

Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Amirul Ahmad Jamal bagaimanapun berhujah supaya hukuman berat dikenakan kerana tertuduh memiliki cabutan sijil kelahiran dan kad pengenalan palsu lebih 20 tahun.

Katanya, tertuduh juga menggunakan kad pengenalan itu untuk menukar agama daripada Hindu kepada Islam, menerima bantuan Aidilfitri Majlis Agama Islam Melaka dan membuka dua akaun simpanan di Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *