Sultanah Clare Rewcastle-Brown Editor Sarawak Report

Saman Sultanah T’ganu: Representasi Rewcastle-Brown ditolak sekali lagi

PEJABAT Peguam Negara (AGC) menolak permohonan pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown agar dakwaan fitnah jenayah terhadapnya digugurkan.

Peguam Rewcastle-Brown, Guok Ngek Seong hari ini mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa surat representasi bertarikh 8 Mac berhubung kes melibatkan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah telah ditolak.

Menurut undang-undang berkaitan surat representasi, tertuduh boleh mencadangkan jalan lain untuk menyelesaikan kes seperti pembatalan pertuduhan atau ia digantikan dengan pendakwaan yang lebih ringan.

Mengikut surat dari AGC kepada peguamnya bertarikh 27 Mac, surat representasi itu ditolak kerana ada bukti yang cukup untuk mengekalkan pendakwaan yang dibuat, lapor Malaysiakini.

AGC juga menyatakan keputusan untuk mengekalkan pendakwaan adalah muktamad dan sebarang representasi lanjut dari Rewcastle-Brown tidak akan dilayan, kecuali jika ada perkembangan baru atau perkara yang belum diambil kira yang memerlukan pertimbangan lanjut.

Pada 23 September 2021, Rewcastle-Brown didakwa in absentia di bawah pertuduhan fitnah jenayah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Pertuduhan itu berkaitan bukunya bertajuk ‘The Sarawak Report-The inside story of 1MDB’ yang turut menyebut tentang Sultanah Zahirah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Rewcastle-Brown turut membuat permohonan berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memindahkan kes ini dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, serta permohonan untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *