PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) yang mendesak pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap Yang di-Pertuan Agong dapat mendengar keluhan rakyat yang mahukan pengeluaran simpanan mereka secara bersasar bukan bercagar.
NGO itu ialah Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR), Global Human Rights Federation (GHRF) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIRM), Azmi Mohd Tahir yang mewakili NGO berkata, sebanyak 50,000 pencarum mengisi petisyen bantahan pengeluaran KWSP bercagar yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua hari.
“Wang itu wang simpanan rakyat mengapa perlu dicagarkan, mengapa kami perlu berhutang dan bayar bunga pula sedangkan duit sendiri?,” katanya pada sidang media selepas selesai menyerahkan memorandum bersama tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Istana Negara di ibu negara, hari ini.
Tegas Azmi, inisiatif itu hanya menambah beban hutang pencarum yang rata-rata mahukan pengeluaran bersasar untuk menyelesaikan hutang sedia.
Menurutnya, pihaknya melihat isu terbabit sangat serius dan menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran akaun satu secara bersasar kepada yang betul-betul memerlukan.
Sehubungan itu, pihaknya berharap dengan penyerahan memorandum itu Yang di-Pertuan Agong dapat menasihati kerajaan untuk membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar.
“Pencarum sangat-sangat terkesan, ini bukan perkara main-main. Kami akan terus desak kerajaan benarkan pengeluaran termasuk dari akaun satu.
“Kalau pengeluaran akaun dua yang pasti buat pengeluaran bukan golongan M40 atau B40 tapi T20. Sebab golongan B40 dan M40 sudah tak ada baki dalam akaun dua. Mereka yang paling terkesan sebenarnya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, inisiatif mencagarkan simpanan KWSP untuk mendapatkan pinjaman bank bukan penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu kesempitan hidup rakyat.
Beliau berkata, pihaknya tidak bersetuju jika inisiatif itu dilaksanakan oleh bank kerana ia dilihat hanya akan menambah hutang rakyat.
“Kita tak setuju idea pinjaman bank ini. Kalau kerajaan bagi pinjaman menerusi agensi kerajaan yang ada kadar diskaun itu lain tapi yang ini komersial, konsepnya saya tak setuju.
“Ini bukan pengeluaran tapi pinjaman, buatnya pencarum tak mampu bayar balik? Sudahlah pencarum dalam kesusahan.
“Kalau dia tak mampu bayar pinjaman itu sudah habis hilang pula duit simpanan KWSP dia,” tambahnya lapor Harian Metro.
Leave a Reply