TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) seolah-olah tidak memahami penderitaan yang dihadapi rakyat terutamanya melibatkan kehidupan mereka yang sengsara, khususnya selepas pandemik Covid-19.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, rakyat ketika ini menghadapi kesukaran yang luar biasa, namun masalah itu ditangani oleh kerajaan PH-BN secara tidak bijaksana sehingga memberi kesan yang lebih buruk.
“Masalah yang paling besar yang dihadapi oleh rakyat hari ini selepas kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 melibatkan soal kehidupan, di mana tidak ada satu perkataan baik diberikan kepada kerajaan sekarang.
“Yang anggap rasa tidak puas hati ataupun kecewa, marah kerana tindakan yang diambil oleh kerajaan tidak tepat untuk membantu mengurangkan beban dan penderitaan yang sedang ditanggung penderitaan rakyat.
“Ramai yang jatuh miskin, bertambah B40 jadi B60. Sebahagian besar tidak ada pendapatan, tidak ada pekerjaan. Jadi masalah-masalah sebegini agak tidak dirasakan oleh pimpinan kerajaan yang ada pada hari ini
“Sebab itu ramai yang rasa kecewa. Masa saya berucap ini ada seorang manusia dari Johor berjalankan kaki nak pergi ke Istana Negara kerana minta tuntut supaya kerajaan benarkan KWSP digunakan,” katanya menurut laporan Agenda Daily.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program iftar Ramadan bersama penduduk kawasan Parlimen Pagoh, di Kundang Ulu semalam.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, beliau dan ahli Parlimen PN sentiasa membawa suara rakyat berkaitan isu itu di Parlimen dan meminta kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.
“Tetapi ini (KWSP) dah saya bangkit dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional bangkit dalam Parlimen selalu. Di hadapan perdana menteri, di hadapan menteri ekonomi, kita bincang perkara itu, kita minta supaya apa yang telah disuarakan oleh sebahagian rakyat untuk membolehkan wang KWSP itu dikeluarkan untuk digunakan supaya meringankan bebanan mereka, (tetapi) tidak diluluskan oleh kerajaan.
“Juga bentuk-bentuk bantuan yang lain termasuk menangani masalah kos sara hidup yang hari ini makin menambah beban. Harga bahan makanan juga perkhidmatan naik mendadak menyebabkan sebahagian besar penduduk kita khususnya orang Melayu ataupun yang juga bukan Melayu berhadapan dengan masalah kehidupan yang agak begitu daif.
“Perkara seperti ini tidak diberikan perhatian langsung oleh kerajaan PH-BN sekarang, sedangkan ia adalah perkara serius yang perlu ditangani segera,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Muhyiddin memberi jaminan bahawa PN bersatu hati dalam memperjuangkan dan membela nasib rakyat.
“Kerajaan hari ni macam tidak langsung faham tentang penderitaan yang dihadapi oleh rakyat. Kesukaran yang agak luar biasa.
“Sebab itu kita (PN) akan teruskan usaha kita. Kita bukan setakat menyuarakan, tetapi kita akan ambil langkah-langkah sewajarnya seperti mana di peringkat pimpinan kita baik Bersatu ataupun Pas dan Gerakan di peringkat bawah sekalipun turun ke lapangan untuk memberikan apa saja bentuk bantuan yang kita mampu beri supaya penderitaan yang dihadapi oleh rakyat itu dapat kita atasi ataupun kita kurangkan.
“Jadi itulah antara perkara yang saya fikir amat penting dan mustahak pada ketika ini supaya rakyat akan bersama kita… teruskan sokongan kepada Perikatan Nasional.
“Kita akan berjuang… enam buah negeri tak lama lagi akan berhadapan dengan pilihan raya dan kita akan tunjukkan kepada rakyat jelata bahawa kita lah antara pimpinan politik walaupun menjadi pembangkang, dapat menegakkan keadilan, melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang jauh lebih baik dan mampu berbanding dengan pihak kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.
Leave a Reply