Mahkamah Persekutuan tolak permohonan semakan kes SRC Najib

(KEMAS KINI) MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Susulan itu, keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, adalah kekal.

Empat panel hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan untuk menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat ketika membacakan keputusan itu memberitahu, hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan yang adil tidak dinafikan ketika pendengaran rayuan.

Sebaliknya, katanya, peguam beliau, Datuk Hisyam Teh Po Teik enggan mengemukakan penghujahan lisan walaupun dibenarkan berbuat demikian oleh Tengku Maimun.

Justeru, katanya, Tengku Maimun akhirnya terpaksa menolak rayuan tersebut.

“Sehubungan itu, tiada kesilapan mahkamah ketika pendengaran rayuan Najib dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta oleh panel hakim pada tahun lalu,” katanya di Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Astro Awani.

Dalam keputusan majoriti 4-1, panel membuat keputusan berkenaan selepas mendapati permohonan kebenaran semakan itu adalah lebih menjurus kepada permohonan untuk menyemak merit keputusan panel dalam rayuan akhirnya pada Ogos 2022 itu.

Keputusan yang dibacakan Vernon Ong itu disokong Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, namun Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan menentang.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali mendapati Najib bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Mohd. Nazlan sehubungan itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 dan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *