JEMAAH Malaysia, Rosli Salleh, 62, yang dilaporkan hilang di Mekah ketika mengerjakan umrah pada 10 Mac lalu, ditemui meninggal dunia.
Anaknya, Muhammad Farid Rosli menerusi hantaran dalam kumpulan Facebook, Group Umrah semalam memaklumkan berita duka itu.
“Assalamualaikum. Update (laporan) terbaharu, kami sekeluarga telah menjumpai ayah (Rosli) kami. Beliau telah meninggal dunia di sana (Mekah).
“Kami mohon tolong doakan untuk kesejahteraan ayah kami di sana, mohon kebaikan untuknya di akhirat dan semoga kami semua akan disatukan di syurga kelak. Amin insya Allah,” katanya.
Farid turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu misi pencarian bapanya.
Dia berkata, keluarganya mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah bapanya.
“Kami juga ingin berterima kasih atas segala pertolongan dan doa yang diberikan sepanjang pencarian ini. Terima kasih. Mohon jangan tanya tentang detail (butiran), cukup di sini saja,” katanya, lapor FMT.
Terdahulu, Farid meminta bantuan orang ramai untuk mengesan lokasi bapanya apabila gagal dihubungi sejak 17 Mac lalu ketika mengerjakan umrah bersendirian tanpa ejen.
Leave a Reply