SAYAP Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar menarik balik keputusan membekukan pengambilan pekerja asing dalam semua sektor.
Ketua Penerangannya, S. Subramaniam berkata, keputusan menteri menangguhkan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing bercanggah dengan keputusan jemaah menteri sebelum ini.
“Keputusan menteri untuk menarik balik Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang sepatutnya tamat pada 31 Mac ini bukan berdasarkan keperluan industri tetapi, seolah-olah ‘siapa cepat dia dapat’, yang lambat perlu ‘gigit jari’.
“Nampaknya, kerajaan hari ini masih tidak faham isu pekerja asing. Kalau nak menangguh permohonan baru tidak mengapa.
“Tapi ini membeku semua proses termasuk majikan yang mendapat kelulusan dan sedang menunggu untuk temuduga juga dibekukan. Memang tak adil,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.
Pada 18 Mac, Sivakumar mengumumkan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Dalam kenyataannya menteri itu berkata, kerajaan meluluskan sebanyak 995,396 kuota penggajian pekerja asing setakat 14 Mac 2023.
Bagaimanapun, Subramaniam mendakwa kenyataan menteri tidak menunjukkan situasi sebenarnya.
“Angka yang diberikan oleh beliau adalah termasuk kelulusan hampir 580,000 pekerja asing yang diberikan semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Sasaran kerajaan hari ini di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang bermula pada 17 Jan lalu adalah 500,000. Berdasarkan pecahan yang diberikan oleh menteri sehingga 14 Mac hanya 415,000 kelulusan diberikan oleh kerajaan hari ini.
“Jadi, KSM masih kurang 85,000 kelulusan untuk mencapai sasaran. Kenapa menteri tergesa-gesa membekukan,” soalnya.
Pada 17 Januari, kerajaan mengumumkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing untuk membawa masuk pekerja asing melibatkan lima sektor yang dianggap sebagai kritikal iaitu restoran, perkilangan, pembinaan, perladangan dan pertanian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, majikan yang berjaya membawa masuk pekerja asing di bawah pelan penggajian dan kuota baru akan diberi tempoh enam bulan untuk mematuhi prasyarat tersebut.
Prasyarat ini termasuk pematuhan kepada undang-undang buruh, melayakkan pekerja asing mengambil kuota di bawah Kementerian Sumber Manusia dan membayar gaji minimum.
Beliau juga berkata penguatkuasaan bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi berkaitan akan dilaksanakan selepas tempoh enam bulan.
Leave a Reply