Pelukis pelan mengaku tidak bersalah hantar komunikasi teks, gambar jelik

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG pelukis pelan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan menghantar komunikasi teks dan gambar jelik pada tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Embong, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan pertama sehingga keempat, tertuduh melakukan kesalahan itu pada 17 Mac 2022 sehingga 18 Ogos 2022 menerusi Facebook ‘Firdaus Embong’ dengan menghantar gambar dan teks jelik dengan niat menyakitkan hati.

Hantaran tersebut telah dilihat di sebuah bank di Kulai pada pukul 2 petang, 14 September 2022.

Pertuduhan terhadap Muhammad Firdaus yang juga orang kena saman (OKS) dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tertuduh berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Fazril Sani Mohamed Fadzil serta Pegawai Pendakwa SKMM, Mai Zairani Zainal Abidin menawarkan jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan.

Namun, OKS yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan rendah iaitu RM10,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula 15 Mei depan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *