LAPAN penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) memfailkan saman sebanyak RM860,000 terhadap Rapid Rail Sdn. Bhd. dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu.
Saman berkenaan membabitkan kejadian dua buah tren LRT Laluan Kelana Jaya bertembung sehingga menyebabkan beberapa penumpang cedera pada pukul 9.15 malam, 24 Mei 2021 lalu.
Mereka ialah Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47; Marvena Jitol, 28; Riezariel Haeqal, 23; Rozita Che Rus, 28; Ng Siow Nee, 36; Siti Nuraliah Hashim, 26; Nurul Athirah Mohd. K. Jabayee, 36 dan Muhammad Firdaus Mohd. Saleh, 35.
Menerusi pernyataan tuntutan difailkan menerusi Tetuan Vin Partnership, kesemua penumpang selaku plaintif pertama hingga kelapan, menamakan dua pihak terbabit sebagai defendan pertama dan kedua.
Kesemua plaintif mengemukakan saman itu kerana Rapid Rail selaku defendan pertama manakala Prasarana defendan kedua, gagal dan cuai dalam memastikan keselamatan mereka sehingga menyebabkan kecederaan, dua tahun lalu.
Plaintif berkata, defendan-defendan gagal memastikan LRT yang digunakan beroperasi dengan selamat bergerak ke hadapan dan tiada sebarang halangan oleh tren lain.
“Mereka gagal melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyumbang kepada insiden itu.
“Dua defendan itu juga gagal mengambil sebarang tindakan untuk mengelak kemalangan dan gagal untuk memberhentikan, memperlahankan dan mengawal LRT supaya kemalangan dapat dielakkan,” kata pernyataan tuntutan itu, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (ketika itu), turut berjenaka dengan berkata kedua-dua kereta api itu ‘bercium’ antara satu sama lain dan dilihat ketawa ketika sidang media berhubung kejadian berkenaan.
Justeru itu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi am, faedah pada kadar lima peratus setahun dari dari tarikh pemfailan writ sehingga ke tarikh penghakiman.
Mereka turut meminta ganti rugi khas dan faedah pada kadar sama dari tarikh kemalangan hingga ke tarikh penghakiman dibuat.
Berdasarkan semakan di laman web kehakiman, pengurusan kes ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mohamad Hafizul Awang pada 11 April ini.
Pada Mei 2021 lalu, video dan gambar mengenai insiden itu tular di media sosial, menunjukkan ratusan penumpang bergelimpangan termasuk sebahagiannya mengalami kecederaan parah.
Untuk rekod pada tarikh berkenaan, seramai 213 penumpang tren LRT laluan Kelana Jaya dilaporkan cedera selepas tren berkenaan brek secara mengejut di Stesen KLCC dari arah Kampung Baru di Kuala Lumpur.
Suasana panik berkenaan dapat dilihat dengan jelas menerusi sebuah rakaman video berdurasi 12 saat yang tular di media sosial.
Beberapa penumpang juga dilihat terduduk di lantai yang penuh dengan kaca berderai dan terdapat penumpang yang menangis teresak-esak sambil menutup bahagian tubuh yang berdarah selepas terjatuh akibat insiden tersebut.
Leave a Reply