Peniaga Bazar Ramadan ‘cekik darah’, harga kuih muih terus melambung tinggi

guane

ORANG ramai terutama golongan suri rumah yang mengunjungi Bazar Ramadan terus mengeluh dan marah-marah.

Baru empat hari umat Islam menjalani ibadah puasa, namun sikap kebanyakan peniaga di Bazar Ramadan di Terengganu dikatakan terlalu melampau dan tidak bertimbang rasa.

Ini kerana, kebanyakannya dikatakan berniaga hanya semata-mata mengaut9 keuntungan berlipat kali ganda, bukan ingin membuat kebajikan.

Penulis perhatikan, setiap tahun pelbagai jenis kuih-muih dan lauk-pauk yang dijual di beberapa Bazar Ramadan di negeri ini sentiasa naik harga.

Kini, sudah tiada lagi harga kuih-muih seperti ‘Puteri Mandi’, Onde-Onde, Tepung Pelita, ‘Tepung Pasung’, Karipap’, pengat Pisang’, ‘Buoh Gomok’, ‘Ketupat Daun Palas’ dan ‘Pulut Panggang’ yang dibungkus di dalam plastik berharga RM1.

Selain harganya melampau, kuantiti dan saiz kuih-muih tersebut juga agak kecil tidak seperti dahulu.

Kalau dahulu, mereka yang pergi ke Bazar Ramadan dengan hanya membawa wang RM10, selepas berbuka sudah pasti akan tersandar kekenyangan.

Namun pada zaman sekarang, membeli kuih dengan harga RM30 pun tidak terasa apa-apa.

Itu baru sahaja kuih tidak termasuk lauk pauk seperti daging gulai kawah, gulai ikan dan ayam, RM50 pun belum tentu cukup.

Daging gulai kawah dahulu RM5 kini berharga RM10, gulai ikan golek dahulu RM4 kini RM8 seekor, nasi beriani RM4 kepada RM8 dan nasi ayam RM3 kepada RM6.

“Bayangkan sekarang, kalau paun goreng sebesar guli, popia goreng pun berharga 50 sen sebiji, ketupat daun palas 3 biji RM2 dan pulut panggang 70 sen sebiji, bukanlah itu harga cekik darah namanya”.

Begitulah rungut seorang netizen yang menggunakan nama Mek Kuntum sewaktu membuat hantaran menerusi Facebook Marang Kiter.

Seorang lagi netizen yang mengguna nama Mek Piah pula berkata “Malas doh aku nak gi ke Bazar Ramadan, bukan sahaja mahal, kuih onde-onde aku beli nyurnya basi”, rungutnya.

Walaupun pelbagai rungutan dan kecaman sentiasa diluahkan oleh netizen, ada peniaga seakan tidak pernah berasa serik.

Bagaimanapun, dalam pemerhatian penulis ada Bazar Ramadan sekarang ini sudah tidak semeriah dahulu, tidak lagi bersesak-sesak dengan pengunjung.

Kalau dahulu, mulai hari pertama umat Islam berpuasa, pukul 3 petang orang ramai sudah berduyung-duyung ke Bazar Ramadan.

Ini menyebabkan sebelum pukul 6 petang, ada peniaga terpaksa tutup perniagaannya kerana kuih-muih yang dijual sudah habis licin.

Namun, apa yang penulis perhatikan sejak tahun-tahun kebelakangan ini, ramai peniaga turut mengeluh kerana barangan yang dijual kurang laku dan tidak habis.

Pada tahun lalu, ada peniaga terpaksa menutup perniagaannya selepas pertengahan Ramadan kerana setiap hari jualannya ‘tidak menjadi’.

Ia berlaku mungkin disebabkan pembeli telah berasa serik dengan harga ‘cekik darah’ yang dijual, menyebabkan orang ramai terpaksa memboikot.

Selain itu, kewujudan gerai-gerai jualan ditepi jalan utama termasuk di setiap kampung bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga antara faktor menyebabkan Bazar Ramadan kurang meriah.

Ini kerana, selain dekat dengan kawasan penginapan masing-masing, harga yang dijual juga lebih murah dan lebih ‘Rahmah’ berbanding Bazar Ramadan.

Maka itu, penulis berharap para peniaga di Bazar Ramadan seharusnya muhasabah diri sebelum menetapkan harga kuih-muih atau lauk-lauk yang ingin dijual.

Elakkan mengenakan harga tinggi melampau menyebabkan orang ramai berasa serik dan tidak membeli hasil jualan kita.

Dalam keadaan ekonomi negara yang semakin mencabar di mana rakyat pula berhadapan dengan pelbagai krisis kenaikan harga barangan sudah pasti orang ramai sentiasa berwaspada ketika berbelanja.

Tidak mustahil suatu hari nanti, ramai yang tidak lagi makan di luar sebaliknya akan tertumpu memasak di rumah dan bagi yang bekerja pula terpaksa membawa bekal seperti zaman dulu-dulu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *