SEORANG lelaki kerugian RM164,601 apabila terpedaya dengan sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang wanita menerusi laman sosial Facebook.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki bujang berusia 56 tahun itu mendakwa berkenalan dengan wanita tempatan di laman sosial terbabit pada awal Disember lalu.
“Mangsa yang merupakan penyelia kilang ditawarkan satu skim pekerjaan sambilan melalui pautan yang dihantar ke aplikasi WhatsApp.
“Mangsa kemudian mendaftar sebagai dropship dalam aplikasi Amazon Europe yang menjual barangan dalam page Amazon dengan bayaran sebanyak RM100,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua urusan perkenalan serta perniagaan antara mangsa dan suspek hanya melalui aplikasi WhatsApp tanpa bersemuka.
Selepas tiga bulan kata beliau, akaunnya disekat atas alasan dua pelanggan mendakwa tidak menerima barangan yang ditempah.
“Mangsa dikehendaki membuat bayaran sebanyak RM4,000 tetapi aplikasi terbabit masih menunjukkan tiada pelanggan berminat berurus niaga dengan akaunnya,” katanya, lapor Harian Metro.
Ramli berkata, berikutan itu, mangsa berhasrat untuk menutup akaun Amazon berkenaan kerana mahu mengeluarkan wang keuntungan yang dicatatkan iaitu berjumlah RM700,000.
Bagaimanapun, katanya, mangsa diminta membuat bayaran pemprosesan, cukai kerajaan dan pengurusan wang kastam untuk menebus keuntungan itu sehingga mangsa membuat 14 kali pindahan wang kepada tiga akaun bank berbeza berjumlah RM164,601.
“Mangsa kemudian gagal menghubungi wanita yang memperkenalkannya dengan platform perniagaan itu dan hanya dimaklumkan berada di luar negara atas urusan perubatan ibu,” katanya.
Tambah beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Leave a Reply