KERAJAAN Indonesia masih menguruskan isu berkaitan kos pengambilan pembantu rumah yang lebih rendah dari republik itu ke Malaysia.
Menurut Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, pihaknya belum mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.
“Kerajaan Indonesia tidak mahu menghantar pekerja domestik dalam bilangan besar kerana bimbang kemungkinan timbul pelbagai masalah,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.
Hermono sebelum ini dilaporkan berkata, kos mengambil pembantu rumah warga Indonesia boleh turun serendah RM8,000 seorang, bergantung kepada perundingan antara agensi pengambilan pekerja kedua-dua negara.
Katanya, jumlah RM15,000 adalah bayaran maksimum boleh dikenakan agensi kepada majikan tetapi boleh merundingkan harga lebih baik dengan agensi di Indonesia selagi mengikut saluran undang-undang.
Sementara itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein, berkata pihaknya mengharapkan usaha mengurangkan kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Kos sedia ada agak tinggi, maka sememangnya kita mengharapkan ia dikurangkan ke tahap yang munasabah dan masih memberi ruang ejen pengambilan pekerja menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata, kos pengambilan pembantu rumah agak tinggi di Indonesia kerana perlu membayar kos tinggi bagi khidmat orang tengah atau ‘calo’ di sana.
“Caj dikenakan calo sudah sedia ada tinggi dan disarankan tidak menggunakan khidmat mereka bagi mengelak pertambahan kos.
“Sesiapa yang mahu bekerja di Malaysia boleh terus ke agensi dan tidak perlu menggunakan calo berkenaan,” katanya.
Leave a Reply