MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan sebuah hospital swasta membayar ganti rugi RM700,000 kepada sepasang suami isteri yang kematian bayi mereka selepas dilahirkan di pusat perubatan itu tujuh tahun lalu.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Akhtar Tahir memerintahkan bayaran ganti rugi teladan RM500,000, selain RM200,000 untuk penderitaan kepada Nur Amalina Ismail dan suaminya, Syed Afi Said Merah.
Pasangan itu yang diwakili peguam Farhana Abdul Halim, turut menerima bayaran kos RM30,000.
Menurut Akhtar, terdapat kelewatan melampau di pihak doktor yang merawat Nur Amalina, menyebabkan komplikasi pada bayi dalam kandungan sehingga membawa kepada kematian.
“Tiada penjelasan munasabah mengenai kelewatan ini, selain sikap tidak endah doktor terhadap tugasnya,” katanya dalam alasan bertulis yang dikeluarkan semalam.
Akhtar berkata, beliau mempertimbangkan sikap doktor itu cenderung kepada “kesemberonoan dan kecuaian jenayah”.
“Ia sebagai pengajaran kepada profesional perubatan dalam menjalankan tugas mereka. Satu mesej jelas perlu disampaikan bahawa sikap sedemikian tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi jika ia menyebabkan kematian,” katanya.
Keputusan lisan itu disampaikan pada 17 Jan lalu terhadap doktor itu dan Hospital Pusrawi Sdn Bhd sebagai defenden kedua.
Kedua-dua defendan yang diwakili Razlan Hadri Zulkifli dan P Tishondra, merayu kuantum itu ke Mahkamah Rayuan.
Hakim berkata, Nur Amalina mengalami kecemasan selepas air ketubannya pecah pada 6 Nov 2016 ketika berada di hospital itu untuk melahirkan anaknya.
Katanya, doktor menyerahkan kepada jururawat dan hanya melawat Nur Amalina keesokannya.
Ketika memeriksa Nur Amalina, doktor itu segera mengarahkan pembedahan kecemasan dilakukan.
Ketika dilahirkan, leher bayi itu didapati terbelit tali pusat menyebabkan bayi itu meninggal dunia sehari kemudian.
Leave a Reply