TIGA lantikan ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diumumkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi petunjuk mengenai hasrat di pihak presiden parti untuk mengukuhkan kedudukannya sambil menyenangkan hati penyokong setia pendahulunya.
Penganalisis politik, Jeniri Amir berkata, perkera itu boleh dibuktikan dengan pelantikan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Ketua Penerangan parti dan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Setiausaha Agung.
“(Ketika pemilihan parti Sabtu lalu) akar umbi dengan jelas tidak mahu barisan Zahid, (tetapi Zahid) memerlukan orang yang rapat dengannya.
“Jadi, untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kepimpinan tertinggi, beliau perlu memerlukan penyokong setia seperti Azalina dan Asyraf,” katanya kepada FMT.
Pelantikan bekas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ke MKT, adalah untuk mengukuhkan sokongan daripada penyokong setia bekas perdana menteri Najib Razak, kata Jeniri.
“Ia langkah bijak untuk menyenangkan hati kem Najib,” ujar Felo Majlis Profesor Negara itu.
“Dengan orang Najib yang turut berada dalam barisan baharu, parti akan kekal menjadi pentas ‘Zahid-Najib’, seperti yang dikatakan bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin,” katanya.
Semalam, Zahid mengumumkan pelantikan Azalina, Asyraf dan Shahrizat ke MKT parti.
Asyraf juga menggantikan Ahli MKT, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung parti, manakala Azalina menggantikan Isham Jalil sebagai Ketua Penerangan.
Apa yang ketara, Presiden UMNO tidak mengendahkan bekas Perdana Menteri dan Naib Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk MKT.
Ismail pernah mengkritik kepimpinan Zahid pada masa lalu, kata Jeniri dan pengecualiannya adalah sama dengan presiden parti menutup pintu terhadap pengkritiknya.
“Zahid tidak mahu musuh dari dalam,” kata Jeniri, sambil memberi amaran bahawa prospek masa depan mereka yang menyokong Ismail kini suram.
James Chin dari University of Tasmania bersetuju bahawa pelantikan itu jelas menunjukkan kerjasama antara Zahid dan Datuk Seri Najib Razak.
Ketiadaan Ismail tidak mengejutkan, katanya, memandangkan beliau menentang UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
“Ismail mengingkari hasrat Zahid dan Najib untuk pilihan raya awal ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Mereka mahu pilihan raya umum diadakan tidak lama selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor apabila parti mempunyai momentum.
“Jadi, Khairy betul, ia adalah pentas ‘Zahid dan Najib’. Najib masih berpengaruh dalam UMNO,” katanya kepada FMT.
Chin memberi amaran bahawa Zahid dan Najib boleh hilang kawalan ke atas parti itu jika UMNO menghadapi masalah buruk pada PRN akan datang.
Akar umbi mungkin mendesak perubahan dalam kepimpinan untuk memulihkan nasib parti, katanya.
Leave a Reply