Oleh MOHD LAZIM ENDUT
HARI ini seluruh umat Islam di Malaysia mula menjalani ibadah puasa.
Justeru, dengan ketibaan 1 Ramadan pada kali ini, marilah sama-sama kita menyambutnya dengan perasaan bangga, penuh kesyukuran dan ketakwaan.
Bagi orang politik, inilah masanya untuk mereka muhasabah diri dengan melupakan segala persengketaan yang berlaku selama ini.
Sementara mereka yang berada dalam barisan kepimpinan negara pula, hentikanlah setiap perkara yang boleh menimbulkan pertelingkahan dan kegusaran ramai.
Sebaliknya perbanyakkan perancangan dan aktiviti kebajikan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.
Sebagai pemimpin, inilah masanya untuk kita membantu rakyat yang sedang berhadapan dengan taraf hidup yang semakin mencabar, bukan sekadar janji-janji manis di bibir sahaja.
Ini untuk mengelakkan terdapat pihak-pihak tertentu terus mengaitkan para pemimpin dengan pelbagai gelaran termasuk ‘pakar formula’, ‘kluk klek’ dan sebagainya.
Apa yang penting, gelombang kenaikan harga barangan keperluaan harian perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh pemimpin dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.
Dengan suasana ekonomi rakyat yang semakin getir dan mencabar sekarang ini, cukup-cukuplah kita terlalu banyak ‘bersandiwara’ dan ‘berpolitik’.
Orang politik perlu kembali bertaut dan tidak lagi bermasam muka serta berdendam antara satu sama lain.
Sudah sampai masanya pemimpin perlu sentiasa mencari jalan bagaimana untuk mengawal dan menurunkan harga barang-barang keperluan sepanjang Ramadan dan juga menjelang Syawal.
Bayangkanlah sekiranya harga barangan basah seperti sayur, ikan dan ayam terus melambung tinggi, bagaimana rakyat boleh menghadapinya?
Ikan paling terbawah ‘rangkingnya’ iaitu Selayang dahulunya cuma RM6 sekilogram kini berharga RM16 sekilogram, manakala kacang panjang dahulu RM8 sekilogram kini RM20 sekilogram?
Bukankah ini harga melampau! Apakah tiada Rahmah dalam penjualan harga-harga barangan basah ini?
Selain itu, penulis juga ingin mengingatkan agar pihak berkaitan perlu peka dengan setiap perancangan dan pelaksanaan aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini.
Elakkan penganjuran aktiviti yang boleh menjejaskan imej agama serta menyingung sentitiviti umat Islam.
Antaranya termasuklah pesta-pesta dan konsert hiburan serta program peragaan yang cuba mendedahkan aurat.
Mujur juga acara pembukaan sebuah kelab malam menampilkan persembahan ‘Thai Hot Guy’ yang dijadualkan di Ibu kota pada 30 Mac ini dibatalkan.
Inipun, kerana terdapat 60 laporan Polis dibuat pelbagai pihak bagi membantah penganjuran acara tersebut.
Bagi mencari keberkatan Ramadan ini, marilah kita sama-sama menjaga daripada melakukan perkara-perkara memudaratkan iaitu yang boleh mengurangkan pahala puasa dengan menjaga tingkah laku, lidah, mulut, mata dan juga telinga.
Buat seketika kita kurangkan bercakap politik yang boleh memberi kemudaratan dan perpecahan kepada masyarakat khususnya bangsa Melayu beragama Islam.
Maka itu, sempena bulan Ramadan kali ini semua parti politik Melayu di negara ini seharusnya ‘berdamai’ dan berganding bahu dengan mengelakkan daripada pelbagai isu kontroversi sehingga menimbulkan keresahan dan kegusaran rakyat.
Leave a Reply