SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas terjatuh ke dalam air kumbahan di Kok Lanas, Kota Bharu, semalam.
Kejadian pada pukul 2.30 petang itu disedari ibu dan bapa tirinya apabila mendapati tiada kelibat Muhammad Azim Abdul Rahim.
Ibu mangsa, Nur Ain Nabihah Mohd Zamri, 24, berkata, semasa kejadian dia dan suami, Mohd. Khairi Jauhari Mohd. Yusuf, 36, berada di kedai roti canai milik mereka.
Pasangan tersebut kemudian menyedari ketiadaan anak bongsu daripada dua beradik itu.
“Saya dan suami cuba mencari di sekitar kedai dan kawasan berhampiran sebelum terlintas untuk memeriksa kawasan kumbahan yang terletak dalam jarak lima meter.
“Sebaik tiba di kawasan itu saya lihat sesuatu yang pelik, lumut di dalam air kumbahan tersebut sudah tiada.
“Melihat situasi itu, suami telah meminta adiknya turun ke dalam kumbahan terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lorong Pondok Haji Muhammad, Selising di Pasir Putih, hari ini.
Nur Ain Nabihah berkata, anaknya ditemui tidak sedarkan diri di dasar air sedalam 0.4 meter itu oleh adik iparnya.
Menuruntya, dia dan suami terus membawa Muhammad Azim ke Klinik Kesihatan Kok Lanas untuk mendapatkan rawatan.
“Kira-kira 15 minit selepas menerima rawatan di klinik anak disahkan telah meninggal dunia.
“Sebelum kejadian arwah berperangai pelik, dia banyak merengek seperti gelisah sedangkan sebelum ini dia tidak pernah begitu kerana seorang yang ceria serta aktif,” katanya, lapor Sinar Harian.
Jenazah kanak-kanak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Jawa pada pukul 8.30 pagi tadi.
Leave a Reply