Nurul Shuhada terbuka bermadu jika Hafidz Roshdi jujur, mampu jalankan tanggungjawab

ISTERI kepada pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, terbuka bermadu sekiranya suaminya bersikap jujur untuk berpoligami.

Nurul Shuhada berkata, dia boleh menerima kehidupan poligami sekiranya Hafidz mampu menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan baik.

“Bagi saya, sekiranya seseorang suami mahu berkahwin lain, sebaik-baiknya ikut sunnah Rasulullah. Contohnya, berkomunikasi dengan baik, tidak melakukan perkara dilarang atau boleh mendatangkan dosa.

“Jadi, saya tiada masalah berpoligami jika caranya betul. Untuk pengetahuan, saya tidak pernah bertemu orang ketiga untuk melakukan provokasi seperti tarik rambut atau maki hamun.

“Sebaliknya, saya lebih cenderung memikirkan kenapa orang ketiga mahu berkahwin dengan suami saya. Sedangkan, saya rasa ditipu, selama ini,” katanya, lapor BH Online.

Ditanya boleh memaafkan orang ketiga, Nurul Shuhada berkata dia juga manusia biasa yang mahukan terbaik dalam segala hal.

“Maaf atau tidak, saya hanya manusia biasa. Apapun, saya akan cuba yang terbaik. Kalau berdendam sekalipun, saya bimbang tidak dapat meneruskan kehidupan pada masa depan.

“Apa yang saya harapkan ialah doa baik-baik. Mengenai Hafidz, saya tidak menyimpan apa-apa dendam.

“Bukan soal siapa menang atau kalah, apa yang saya perjuangkan adalah maruah diri dan anak-anak,” katanya.

Nurul Shuhada ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Shah Alam, selepas prosiding bagi pengesahan lafaz cerai terhadapnya, pagi ini.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan 9 Mei depan bagi sebutan semula kes cerai Hafidz dan Nurul Shuhada berhubung isu lafaz cerai dibuat Hafidz sebanyak dua kali.

Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin menetapkan tarikh 9 Mei depan selepas peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Hafidz memohon satu tarikh lain bagi menjawab tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai tersebut.

Sepatutnya, hari ini adalah pengesahan lafaz cerai namun mahkamah dimaklumkan terdapat isu baharu berhubung isu cerai itu.

Kes perceraian dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.

Sebelum itu, adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz bercerai talak satu terhadap kakaknya pada 22 Februari lalu menerusi panggilan telefon.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *