PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pinjaman bank dengan cagaran wang caruman mereka tidak bercanggah dengan Seskyen 51, Akta KWSP.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan telah merujuk kepada pihak KWSP dan Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat undang-undang berkenaan perkara itu.
Menurutnya kepentingan peminjam juga dipelihara melalui kaedah berkenaan apabila dividen masih diteruskan KWSP walaupun diberikan cagaran.
“Umpamanya RM50,000 sebagai pinjaman, tetapi dividen itu akan diberikan sepenuh ikut kumpulan asal. Jadi tidak dipotong (dividen),” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) mengenai adakah kaedah cagaran itu melanggar Akta KWSP, dan sama ada Perdana Menteri mendapatkan nasihat Peguam Negara mengenai hal berkenaan.
Anwar menjelaskan risiko KWSP juga sangat minima berikutan pulangan cagaran dalam beberapa tahun dapat diperolehi meskipun jika terdapat jumlah kecil pencarum yang gagal membayar pinjaman.
Mengulas lanjut, beliau berkata KWSP meminta pencarum menggunakan kaedah pinjaman Islam untuk membuat pinjaman bank, namun tidak menghalang jika pencarum Islam atau bukan Islam terutamanya ingin membuat pinjaman mengikut kadar konvensional.
“Saya ingin menyatakan kita mengenakan kadar instrumen kewangan Islam, jadi dengan kos perkhidmatan yang minima tetapi tidak mengukur dari segi faedah bank konvensional. KWSP memilih untuk meminta ahli-ahli menggunakan kaedah pinjaman Islam dengan kadar faedah yang paling mimina yang tentunya lebih rendah daripada kadar di pasaran,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata pencarum masih boleh memanfaatkan Akaun 2 KWSP bagi tujuan pendidikan, menunaikan haji dan perbelajaan hospital seperti diumumkan sebelum ini.
Perdana Menteri meminta semua pihak supaya tidak beranggapan bahawa pengeluaran KWSP sebagai satu-satunya kaedah untuk meringankan beban rakyat kerana kerajaan juga mengambil langkah-langkah lain termasuk memberi bantuan secara berasingan antaranya kepada pekerja, pekebun, nelayan dan penjawat awam.
“Ini KWSP, akad kita itu jelas, (ia) untuk hari tua. Sebab itu fatwa-fatwa yang jelas dalam hal ini umpamanya tidak dikenakan cukai, malah beberapa kemudahan tambahan diberikan hanya kepada pencarum,” katanya.
Anwar berkata beliau bimbang masa depan pencarum akan lebih sukar jika simpanan mereka hanya tinggal RM4,000 atau RM10,000 sahaja pada masa akan datang.
Beliau memaklumkan bilangan ahli KWSP berumur bawah 55 tahun dengan simpanan kurang RM10,000 mencecah 6.7 juta dan majoriti adalah dalam kalangan Bumiputera dengan median RM4,937 simpanan.
Menurutnya 20 negara yang memberikan kebenaran mengeluarkan wang tabung simpanan pada hari tua susulan pandemik COVID-19 juga telah menghentikan kelulusan pengeluaran berkenaan. – BERNAMA
Leave a Reply