Kes Crackhouse Comedy: ‘Saya sudah ingatkan penghibur untuk tidak sentuh isu sensitif’ – Saksi

SEORANG saksi dalam kes Siti Nuramira Abdullah yang bertindak menanggalkan pakaian ketika membuat persembahan di Crackhouse Comedy Club, Jun tahun lalu memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa dia telah mengingatkan para penghibur untuk tidak menyentuh isu sensitif.

Saksi pendakwaan yang juga merupakan pengacara majlis pada ketika itu, Muhammad Asyraf Kamal Musthaffa, 26, berkata, walaupun tiada peraturan bertulis, namun dia telah mengingatkan beberapa peraturan tidak bertulis.

Katanya, peraturan tidak bertulis itu adalah tertakluk kepada undang-undang Malaysia terutamanya untuk tidak menyentuh isu agama, bangsa dan kerabat diraja.

“Saya diberitahu, ada dua penghibur baharu yang memperkenalkan diri mereka sebagai Amy dan Alex. Kebiasaannya saya akan membuat taklimat ringkas untuk mengingatkan penghibur supaya lebih sensitif ketika berjenaka.

“Ia lebih kepada peraturan yang tidak bertulis dan budi bahasa professional berkenaan apa yang boleh disentuh dan apa yang tidak boleh,” katanya.

Muhammad Ashraf berkata demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob pada prosiding kes itu dihadapan Hakim Nor Hasniah Ab. Razak, pagi ini.

Dia yang juga pernah menjadi seorang pereka grafik berkata, isu sensitif yang disentuh oleh Siti Nuramira pada persembahan itu adalah isu agama.

Mahkamah kemudian menayangkan klip video tular yang memaparkan aksi Siti Nuramira menanggalkan tudung dan baju kurung ketika membuat persembahan komedi di kelab itu.

Ketika ditanya mengenai reaksinya selepas tindakan yang dilakukan oleh Siti Nuramira itu, Muhammad Ashraf mengakui terkejut dengan aksi berkenaan sepanjang menjadi hos di kelab komedi itu.

“Saya tidak pernah melihat perkara seperti itu lebih-lebih lagi pada acara ‘live’. Ia sangat mengejutkan dan berlaku sangat pantas.

“Saya juga lihat penonton turut terkejut dan saya selaku pengacara mencuba sebaiknya untuk meneutralkan kembali suasana,” katanya lagi, lapor Utusan TV.

Muhammad Asyraf yang juga pernah membuat persembahan komedi di kelab itu menegaskan bahawa persembahan Siti Nuramira itu tiada elemen jenaka.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Siti Nuramira, R. Sivaraj mencadangkan bahawa isu sensitif seperti agama dan bangsa pernah dijadikan bahan jenaka di kelab berkenaan sebelum ini.

Sivaraj: Saya mencadangkan bahawa bangsa dan agama pernah digunakan (sebagai jenaka) di Crackhouse Comedy Club.

Muhammad Asyraf: Saya setuju.

Hakim Nor Hasniah kemudian menangguhkan prosiding kes itu pagi esok.

Pada 13 Julai 2022, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni di kalangan sesama Islam.

Perkara itu susulan satu video berdurasi 54 saat tular dalam media sosial memaparkan seorang wanita mendakwa dirinya beragama Islam dan menghafaz 15 juzuk al-Quran, bertindak menanggalkan baju kurung dan tudungnya sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Wanita tersebut ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada 9 Julai 2022.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *