Negara kita cukup unik kerana mempunyai pelbagai bangsa, budaya dan agama yang bebas diamalkan sejak sekian lama.
Keharmonian kaum yang utuh dan berjaya dikekalkan sehingga ke hari ini adalah berkat daripada sikap tolak ansur antara satu sama lain.
Sebenarnya, bukan suatu yang mudah untuk mengekalkan apa yang kita miliki sekarang kerana tanpa persefahaman yang berterusan, semuanya akan musnah dengan sekelip mata.
Oleh sebab itu, tidak kira siapa pun, isu yang sensitif terutamanya melibatkan soal agama perlu dijaga agar tidak menyimpang daripada landasan ditetapkan dalam perlembagaan persekutuan.
Dan baru-baru ini kita dikejutkan dengan Projek Artikel 11, Program Ziarah Gereja yang dianjurkan sebuah NGO di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Program itu mencetuskan polemik apabila banyak pihak mempertikaikannya kerana boleh memesongkan akidah belia Islam.
Mufti-mufti negeri turut bersuara dengan mengatakan selain bercanggah dengan agama Islam, ia turut bertentangan dengan undang-undang yang menetapkan larangan penyebaran agama lain di negara ini.
Menyedari akan perkara itu, Menteri KBS, Hannah Yeoh turut menjelaskan di Dewan Rakyat ketika ucapan penggulungan Belanjawan 2023 pada Selasa lalu, bahawa program berkenaan tidak membabitkan individu beragama Islam dalam aktiviti ziarah gereja.
Beliau dilaporkan berkata, program berkenaan bukan bertujuan untuk memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.
Katanya, pihak kementerian menerusi Impact Malaysia sememangnya tidak akan membabitkan penyertaan belia muslim dan tidak ada belia muslim yang akan memasuki gereja.
Katanya, ia juga bukan dilakukan dengan niat memberi gambaran bahawa semua agama itu mempunyai taraf yang sama seperti anggapan beberapa pihak.
Mengulas kenyataan Hannah, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mempersoalkan mengapa risalah dan iklan program itu masih belum dipinda sekiranya program itu hanya dikhaskan kepada bukan Islam.
Katanya, semakan MAIS mendapati risalah dan iklan yang diedarkan di media-media sosial dan elektronik masih tidak dipinda bagi menunjukkan program itu dikhaskan hanya untuk orang bukan Islam.
Polis kini telah menjalankan siasatan terhadap penganjur program berkenaan dan kita harap selepas ini tiada lagi program seumpama itu dianjurkan kerana sebagai NGO yang bernaung di KBS, mereka sepatutnya faham akan sensitiviti berkaitan umat Islam.
Sebelum menganjurkan apa-apa program, teliti setiap sudut kerana kita tidak mahu ia menyebabkan sebarang rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.
Lagi satu Tok Chey nak nasihatkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan rasa kurang senang umat Islam.
Beliau tidak sepatutnya mempertikaikan keputusan Selangor yang melarang sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain.
Daripada menggalakkan 100,000 ahlinya saling melawat rumah ibadat berbeza agama, adalah lebih baik memperbanyakkan kempen melawat rumah ibadat masing-masing.
Contohnya memperhebatkan kempen untuk belia Islam mendekatkan diri di surau dan masjid kerana ia adalah lebih baik berbanding melawat rumah ibadat lain.
Kalau pun hendak memahami dan mengenali lebih dekat akan agama lain, ia boleh dilakukan tanpa perlu melakukan lawatan kerana semua ilmu itu boleh diperolehi daripada guru-guru yang bertauliah.
Di universiti pun banyak terdapat ruang untuk memahami setiap perbezaan agama jika kita benar-benar ikhlas mahu mendalami ilmu tersebut.
Oleh itu, penting bagi kita semua untuk saling menghormati keharmonian dalam beragama yang telah lama dipraktikkan. Setiap dari kita perlu memainkan peranan menjaganya dengan baik supaya keamanan yang dikecapi sehingga saat ini dapat dipertahankan sampai bila-bila.
Leave a Reply