PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selesai memberi keterangan berhubung petisyen yang difailkan UMNO untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dimenanginya bagi Parlimen Marang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi.
Abdul Hadi yang juga saksi ketiga pihak responden memberi keterangan lebih satu jam di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya.
Beliau ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu memaklumkan perbicaraan hari ini berjalan dengan lancar dan sudah menjawab semua soalan diberikan.
“Tak ada apa, biasa (dan) saya jawab semua soalan peguam kita (responden), peguam dia (pempestiyen).
“InsyaAllah kerana tak membabitkan kesalahan undang-undang pilihan raya, (ia) lebih berlaku dari segi perang saraf kerana UMNO tak menang melalui pilihan raya, nak menang melalui mahkamah,” katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili Abdul Hadi berkata, pihak responden sudah selesai memanggil ketiga-tiga saksi dengan Ahli Parlimen Marang itu adalah saksi yang terakhir.
Katanya, ketika ini, pihak pempestiyen belum lagi selesai memanggil saksi bagi pihak mereka.
“Mereka kemukakan saksi (dan apabila selesai), kemudian kita akan berhujah,” katanya, lapor Harian Metro.
Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak bantahan awal yang dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU-15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN.
Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.
Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU-15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.
Leave a Reply