Pemilihan UMNO 2023 menyaksikan kira-kira 30 peratus atau 54 peneraju kepimpinan UMNO di peringkat bahagian di seluruh negara adalah muka baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, perkembangan itu sekali gus menunjukkan UMNO sebuah parti dinamik khususnya dalam menyubur serta mengharungi landskap politik semasa.
“Seramai 54 Ketua UMNO Bahagian ini adalah 29 peratus lebih atau kira-kira 30 peratus muka baharu. Dia bukan berlaku hanya satu negeri, tetapi berlaku secara keseluruhan.
“Contohnya di Wilayah Persekutuan, enam muka baharu; Melaka (tiga); Kelantan (lima); Johor sampai 10 muka baharu; Perak (empat); Selangor (enam) dan Perlis, tiga,” katanya pada sidang media di Auditorium UMNO di Kuala LUmpur, hari ini.
Selain itu, Shahrir berkata, UMNO perlu menekankan soal tata etika kepada seluruh perwakilannya yang terbabit dalam pemilihan pada masa akan datang.
“Kepada 190,000 ahli UMNO yang terbabit dalam proses pemilihan, kita juga tekankan soal kualiti, supaya mereka patuh soal tata etika. Supaya perwakilan akar umbi UMNO ini, mereka juga harus mempunyai kefahaman dan tanggungjawab sebagai perwakilan.
“Kalau kuantiti saja, dia bukan menandakan amalan demokrasi sebenar. Amalan demokrasi itu mesti berasaskan kefahaman dan kepatuhan kepada peraturan. Jadi itu anggapan kami sebagai JPU 2023,” katanya, lapor Berita Harian.
Katanya, rumusan berkaitan perjalanan Pemilihan UMNO 2023 termasuk cadangan penambahbaikan yang perlu dilaksana UMNO selepas ini akan dikemukakan oleh JPU kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam tempoh terdekat ini.
Pemilihan UMNO 2023 berakhir semalam selepas 189 bahagian UMNO dari 191 bahagian bersidang, namun hanya dua bahagian iaitu UMNO Bahagian Johor Bahru dan Beluran di Sabah yang ditangguhkan.
Keputusan dari dua bahagian ini termasuk dua lagi Bahagian UMNO yang digantung iaitu Tanah Merah dan Kota Kinabalu, yang dijadual akan mengadakan semula pemilihannya kelak, tidak akan dikira bagi penjumlahan keseluruhan keputusan Pemilihan UMNO 2023 khususnya bagi peringkat Pusat.
Leave a Reply