Oleh RIZQI ZABIDI
DEMI mengelak daripada diperiksa pihak polis, seorang lelaki sanggup melarikan diri dan meninggalkan kereta Honda Civic dipandunya di persimpangan lampu isyarat Kedondong dekat Pokok Sena, Kedah, awal pagi ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, intipan dijalankan kira-kira pukul 1.30 pagi itu mendapati berlaku aktiviti merbahaya di jalanan, melibatkan beberapa buah kereta.
“Empat daripada kereta yang ada di situ didapati menjadikan lampu isyarat kawasan tersebut sebagai tempat permulaan perlumbaan.
“Kesemua mereka kemudiannya dikepung untuk ditahan, tidak jauh dari lokasi tersebut. Usaha tersebut membuahkan hasil dengan tiga lelaki berusia antara 22 hingga 33 tahun berjaya ditahan.
“Bagaimanapun seorang daripada empat pemandu itu meninggalkan keretanya untuk melarikan diri,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad Shukri berkata, ketika ini pihaknya masih mengesan individu yang meninggalkan kenderaan tersebut.
“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Selain tiga individu yang ditahan itu, beberapa pemilik kenderaan lain yang asyik menyaksikan kegiatan itu turut diperiksa dan disaman atas beberapa kesalahan termasuk mengubah suai kenderaan,” katanya.
Leave a Reply