Sindiket penipuan antarabangsa: Dua warga UK dipenjara, denda

DUA lelaki warga United Kingdom (UK) yang terbabit sindiket penipuan pelaburan antarabangsa berjumlah lebih RM600,000 dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian selepas Andrew Mark Peters, 55, dan Darren Anthony Mcnicholas, 51, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.

Andrew yang juga orang kurang upaya (OKU) turut didenda RM180,000, manakala denda terhadap Darren Anthony sebanyak RM140,000, lapor Harian Metro.

Mahkamah memerintahkan kedua-duanya hukuman penjara ditambah masing-masing 22 bulan dan 16 bulan (Darren) jika gagal membayar denda dengan hukuman penjara bermula tarikh ditangkap, 21 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, Andrew Mark sebagai dalang sindiket penipuan antarabangsa bersubahat dengan mengarahkan Darren Anthony melalui ejen dikenali ‘David Henshaw’ dan ‘Henry Paxton’ menipu warga Scotland, lan Strachan.

Ia bagi memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa akan dijamin mendapat keuntungan yang tinggi daripada satu pelaburan jangka masa singkat, yakni pembelian saham di syarikat dikenali Novocure Limited serta Lithion Power Corp yang kedua-dua tertuduh ketahui tidak wujud.

Dengan itu, mereka dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan AS$5,672.41 (RM25,528.68) dan EURO€121,200 (RM577,691.87) ke dalam akaun OCBC Bank dan CIMB Bank (M) Berhad milik Premier Tranfers Ltd, di Menara Mitraland, Jalan PJ 5/1, Selangor, pada 21 Mei dan 27 Jun 2019.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan.

Terdahulu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh memohon hukuman minimum atas alasan mereka adalah pesalah pertama dan memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dilakukan.

“Andrew Mark ada tiga anak dan lima cucu, selain mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan. Dia menghadapi kekangan untuk bergerak ke tempat awam kerana memerlukan kerusi roda.

“Darren Anthony pula ada isteri dan anak warga Malaysia. Hukuman dikenakan akan memberi impak kepada keluarga tertuduh.

“Pengakuan bersalah oleh kedua-dua anak guam menjimatkan kos dan masa mahkamah serta pendakwaan, selain mereka menzahirkan rasa menyesal dan memohon maaf atas kesalahan terbabit,” katanya, lapor Harian Metro.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.

“Kena ambil kira kekerapan dan penularan kes penipuan itu bukan saja di Malaysia tetapi serata dunia.

“Mengikut fakta kes, sindiket penipuan antarabangsa itu berpangkalan di Malaysia sejak 2015. Hukuman setimpal supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan.

“Hukuman terlalu rendah kepada tertuduh akan memberi mesej kepada rakyat Malaysia bahawa mahkamah tidak mengambil berat kesalahan seperti ini,” katanya.

Media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket pelaburan antarabangsa didalangi warga UK dalam serbuan secara berasingan di 24 premis pada 21 Februari lalu.

Op Tropicana dijalankan serentak termasuk di tiga pusat panggilan, syarikat dan kediaman ahli sindiket di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang tanpa kehadiran pihak polis.

Difahamkan, sindiket itu mengaut hampir RM200 juta daripada mangsa warga Australia dan UK, malah dipercayai memberi suapan kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh terus beroperasi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam sidang media pada 22 Februari lalu berkata, serbuan dibuat selepas siasatan berasaskan risikan, penyiasatan kewangan, penyamaran dan beberapa kaedah lain.

Katanya, risikan juga dijalankan dengan kerjasama antara agensi di Australia serta beberapa negara luar dan juga dibuat oleh Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *