Bersatu buat laporan polis terhadap Anwar, Zahid

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung fitnah serta dakwaan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris mendakwa, Anwar dan Ahmad Zahid cuba menghancurkan kekuatan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dakwanya lagi, ini termasuklah tindakan membekukan akaun bank Bersatu serta mengheret kepimpinan parti ke mahkamah.

“Pada 6 Disember 2022, saya telah menonton televisyen, Anwar sebagai Menteri Kewangan mendakwa kerajaan di bawah Muhyiddin telah menyeleweng RM600 bilion pakej ekonomi.

“Dakwaan tersebut jelas adalah fitnah dan tohmahan palsu apabila RM600 bilion diturunkan kepada RM530 bilion sehingga ke RM92.5 billion kemudiannya kepada RM4.5 bilion sehingga akhirnya kepada RM300 juta sahaja.

“Ahmad Zahid menerusi ucapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Januari lalu menyatakan akan wujud kluster mahkamah dalam kalangan pemimpin PN dan Bersatu, meskipun siasatan penuh masih belum lengkap ketika itu.

“Ini adalah bukti jelas menunjukkan wujud konspirasi jahat ke atas Muhyiddin, PN dan Bersatu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Razali mendakwa, Anwar telah menyalahgunakan kuasa dengan menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas kepimpinan Bersatu.

Ujar beliau, tindakan itu bertujuan memberi persepsi yang buruk kepada parti berkenaan dan cuba menampakkan fitnah dan tohmahan mempunyai asas bagi menghancurkan PN.

Justerum ujarnya laporan polis dibuat untuk menghalang perbuatan jenayah dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin kerajaan yang menggunakan agensi penguat kuasa serta menyalahgunakan proses undang-undang demi kepentingan politik.

“Semua tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas PN, Bersatu, Muhyiddin dan kepimpinan PN yang lain termasuk membekukan akaun Bersatu jelas menunjukkan konspirasi jahat dengan menyalahgunakan proses undang-undang dan bermotifkan pendakwaan politik.

“Tujuan sebenar Anwar, Ahmad Zahid dan pakatan mereka dalam Pakatan Harapan (PH) adalah untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat kepada PN.

“Ia juga bertujuan menjatuhkan maruah daripada parti yang bersih kepada korupsi dan rasuah yang akan meresahkan rakyat serta menghakis kepercayaan kepada PN khususnya bagi menghadapi PRN akan datang,” katanya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *