Tiga maut dua kenderaan bertembung

TIGA maut selepas dua kenderaan bertembung di Jalan Papar Lama berhampiran Kampung Nambazan, di Penampang, pukul 10.30 malam tadi.

Nahas itu menyebabkan pemandu MPV Naza Kia dan pemandu serta penumpang Perodua Myvi meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada Naza Kia yang dipercayai memandu melawan arus.

“MPV itu kemudian bertembung dengan Perodua Myvi menyebabkan kedua-duanya rosak teruk di bahagian hadapan.

“Tiga mangsa semuanya lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang penumpang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun dalam Perodua Myvi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Haris berkata, mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Penampang untuk dibedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Harian Metro.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *