SEORANG pekerja kontrak didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh dengan mendatangkan kecederaan ke atas seorang anggota polis pada 1 Mac lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, S. Ramesh, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan cubaan membunuh dengan mendatangkan kecederaan kepada seorang anggota polis, Mohamad Azril Syamil Mohamad Hanafi di sebuah rumah bernombor 10A, Lebuh Thean Teik, Timur Laut, di sini , pada 1 Mac, kira-kira pukul 12.15 tengah malam.
Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda dan jika ia menyebabkan cedera hendaklah pemenjaraan yang boleh sampai 20 tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan disebabkan kesalahan serius yang dilakukan tertuduh ke atas mangsa.
Bagaimanapun, Ramesh yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan memandangkan dia hanya bekerja sebagai pekerja kontrak dengan gaji RM1,300 sebulan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat sehingga perbicaraan kes itu selesai.
Selain itu, mahkamah juga menetapkan tertuduh tidak mendekati Mohamad Azril Syamil Mohamad Hanafi.
Hakim juga menetapkan 11 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera termasuk retak di kepala akibat ditetak dengan pisau pemotong daging ketika bergelut dengan seorang lelaki dalam kejadian di Bandar Baru Air Itam, di sini, pada 1 Mac lalu.
Susulan itu, polis menahan suspek berusia 33 tahun yang mempunyai empat rekod jenayah lampau berkait dadah.
Leave a Reply