SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak pagi tadi dijangka selesai lewat petang ini, kata laporan.
Astro AWANI dalam laporannya memetik Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, difahamkan, bekas perdana menteri itu akan keluar dari bangunan SPRM di Putrajaya selepas siasatan namun tidak diberitahu secara tepat waktunya.
Menurut Razali, selepas keluar dari bangunan SPRM, Muhyiddin akan terus ke markas Pas Taman Melewar di Gombak, Selangor untuk program solat hajat.
“Tan Sri (Muhyiddin) dijangka lama … lama itu sampai ke malam. Kami semua pimpinan akan berhimpun di Taman Melewar.
“Bagaimanapun, selepas selesai, Tan Sri akan sertai pimpinan untuk solat hajat selepas selesai disiasat,” katanya kepada media di hadapan bangunan SPRM.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Muhyiddin akan didakwa esok.
Muhyiddin tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pada 11.15 pagi tadi dan masuk ke dalam bangunan pada pukul 11.22 pagi.
Leave a Reply