PENGARAH sensasi, Syamsul Yusof mengunci mulut berhubung keputusannya enggan menceraikan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.
Syamsul atau nama penuhnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, tidak mengendahkan pertanyaan wartawan yang menunggu di luar kamar mahkamah.
Beliau sebaliknya terus menuju ke lif bersama peguamnya, Roshdan Sujak.
Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu dilihat menggelengkan kepala apabila ditanya alasan tidak menceraikan isteri pertamanya, selain dakwaan memukul Puteri Sarah, dua tahun lalu.
Bagaimanapun, ketika beredar dari kamar mahkamah, Syamsul hanya menunjukkan isyarat tangan tanda ‘aman’ dan ‘Allah Yang Satu’.
Sementara itu, Roshdan ketika berhujah di mahkamah berkata, setakat ini, Syamsul tidak mahu menceraikan Puteri Sarah kerana menyifatkan masih ada sinar untuk memperbaiki hubungan perkahwinan.
“Masih ada sinar untuk pasangan ini… pihak kami tidak setuju pelantikan hakam untuk kes perceraian ini,” katanya, lapor Sinar Harian.
Terdahulu, Puteri Sarah dan Syamsul diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.
Terdahulu, Puteri Sarah nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.
Leave a Reply