Ganti WKB2030 dengan konsep Malaysia Madani terburu-buru, kata Muhyiddin

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mengambil pendekatan yang agak terburu-buru dalam menggantikan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dengan konsep baharu Malaysia Madani.

Jelas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, ini kerana konsep baharu tersebut masih belum jelas perancangannya.

“Harus diingatkan bahawa WKB2030 telah disepakati untuk menjadi tonggak wawasan negara sehingga tahun 2030, malah termaktub dalam dokumen Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang telah diluluskan oleh Dewan yang mulia ini.

“Agenda Bumiputera sebenarnya telah diberi penekanan khusus dalam Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (2020-2030) sebagai kesinambungan dasar-dasar kerajaan terdahulu iaitu Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) dan Dasar Pembangunan Nasional (1990-2000).

“Di bawah gagasan besar WKB2030 ini, Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) telah pun ditubuhkan yang berfungsi sebagai sebuah mekanisme pemantauan di peringkat tertinggi untuk memastikan semua sasaran golongan bumiputera dapat dicapai.

“Sebaliknya, sehingga kini, saya tidak melihat agenda ini disebut secara jelas dalam Dasar Malaysia Madani mahupun dalam mana-mana komitmen kerajaan campuran pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demkian ketika berucap dalam Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

Justeru dalam hal tersebut katanya, kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci tentang kedudukan dasar dan agenda bumiputera dalam dasar pembangunan negara.

Katanya, kajian impak berkaitan status pencapaian syarikat bumiputera dalam pelbagai bidang ekonomi yang telah dibantu serta menerima manfaat dari pakej dan inisiatif kerajaan perlulah dibentangkan.

Langkah itu katanya, amat penting bagi melihat sejauh mana dasar-dasar berkaitan, benar-benar memberi manfaat kepada golongan bumiputera.

“Ini termasuk memperincikan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang yang telah, sedang dan akan diambil pihak kerajaan serta mekanisme pemantauan selaras dengan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TBP2030) yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini,” katanya.

Muhyiddin berkata, dalam RMK-12 misalnya, antara penekanan yang diberi termasuk sasaran pertambahan sumbangan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bumiputera sebanyak 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Bagi mencapai sasaran ini, usaha memperkasa golongan bumiputera perlu dipergiat menerusi pembiayaan dan pelaksanaan program keusahawanan seperti Dana Kemakmuran Bumiputera.

“Seperkara lagi ialah mengenai Yayasan Pelaburan Bumiputera, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera dan Yayasan Ekuiti Nasional yang hendak disatukan. Saya ingin bertanya adakah kerajaan telah menimbangkan dengan sebaik-baiknya keputusan ini,” soalnya.

Ini kerana katanya, ketiga-tiga entiti berkenaan mempunyai fungsi yang berbeza dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat bumiputera daripada segi pemilikan wang simpanan, hartanah dan ekuiti.

“Tidakkah penggabungan ketiga-tiga entiti ini akan menyebabkan fungsi setiap entiti tersebut luntur dan seterusnya menjejaskan pencapaian sasaran pemilikan kekayaan bumiputera,” soalnya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *