TIDAK seperti kebiasaannya setiap kali tiba musim cuti persekolahan industri pelancongan Terengganu sangat meriah dengan kehadiran orang ramai untuk bercuti ke negeri ‘penyu’ ini.
Bukan itu sahaja, setiap awal tahun mulai bulan Mac, pulau-pulau peranginan di negeri ini seperti Redang, Perhentian, Kapas dan Tenggol sentiasa penuh sesak dengan kedatangan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Perkembangan ini menyebabkan jalan-jalan utama di negeri ini mengalami kesesakan teruk sehingga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa menutup beberapa lampu isyarat di persimpangan laluan terbabit.
Begitulah betapa hebatnya indutri pelancongan negeri ini yang tidak pernah sepi dengan kedatangan pelancong sejak dahulu lagi.
Tarikan utama ialah keindahan pantai dan pulau-pulau peranginan yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti snorkeling, diving sambil melihat terumbu karang selain aktiviti memancing dan mencandat sotong.
Bagaimanapun, sehingga hari ini, keadaan pulau-pulau di negeri ini masih lagi suram dan sepi tanpa kehadiran jumlah pelancong yang ramai.
Jalan-jalan utama tidak begitu sesak kerana tidak ramai masyarakat dari luar Terengganu yang datang bercuti sempena musim cuti persekolahan pada kali ini.
Kalau ada pun, anak Terengganu di luar negeri ini pulang untuk meraikan majlis kenduri perkahwinan keluarga atau kawan-kawan.
Antara faktor utama ialah kedaaan cuaca pada kali ini dilihat agak ‘luar biasa’ berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Keadaan angin begitu kencang, ombak pula besar dan ‘menggila’.
Malah beberapa negeri di negara ini seperti Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan tanpa disangka-sangka turut dilanda banjir.
Berdasarkan pengalaman penulis, sebaik monsun Timur Laut (MTL) berakhir pada bulan Mac iaitu selepas masyarakat Cina menyambut Chap Goh Meh, maka bermulalah aktiviti di laut dan pantai di negeri ini.
Ia termasuklah acara Pekan Budaya, Swimathon Kapas-Marang, Tenggiri Challenge dan Pesta Candat Sotong yang merupakan acara dalam kalendar pelancongan negeri.
Sebelum ini kerajaan Terengganu mengumumkan bahawa pulau-pulau peranginan di Terengganu yang ditutup secara tidak rasmi sejak November tahun lalu akibat musim tengkujuh bakal dibuka semula pada 1 Mac lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman pernah memberitahu, para pemain industri pelancongan di semua pulau terbabit sudah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong.
Beliau percaya perkara itu tidak menjadi masalah memandangkan sudah terdapat penginapan di pulau-pulau terbabit di buka dan menerima pelancong.
Bagaimanapun, jangkaan dan harapan Ariffin meleset apabila kebanyakan pulau yang menjadi tumpuan pelancong masih ditutup ekoran cuaca yang ‘luar biasa’ ini.
Kecuali Pulau Kapas yang perjalanannya dari Jeti Marang hanya mengambil masa 15 minit sahaja telah dibuka, tetapi jumlah pengunjungnya tidak begitu ramai.
Biasanya, pada musim cuti umum, cuti persekolahan dan cuti hujung minggu semua bilik penginapan di pulau tersebut sentiasa penuh di tempah termasuk melibatkan aktiviti berkemah.
Sewaktu penulis meninjau ke lokasi jeti pelancongan ke Pulau Kapas pagi ini, suasananya kelihatan agak lengang dan suram berbanding tahun lalu.
Kebanyakan kaunter penjualan tiket sepi, begitu tempat duduk menunggu di Terminal jeti yang kelihatan kosong.
Hanya terdapat beberapa buah bot sahaja kelihatan berulang alik membawa pelancong.
Seorang pengusaha bot pelancong Suria Link, Zakaria Sulong berkata, walaupun pulau Kapas tidak pernah ditutup secara rasmi dan sentiasa ada pelancong ke sana termasuk pada bulan Disember, namun pada tahun ini suasananya agak berbeza.
Katanya, ia disebabkan cuaca agak ‘luar biasa’ di mana angin masih kencang dan ombak pula besar menyebabkan ramai yang takut untuk ke pulau.
Katanya, Pulau Kapas bernasib baik kerana masih ada lagi pelancong walaupun tidak ramai kerana kedudukannnya yang dekat dengan daratan iaitu perjalanan sekitar 15 minit sahaja.
“Tetapi, kalau Pulau Redang dan Perhentian yang terpaksa mengambil masa perjalanan lebih satu jam dalam kedaan angin kencang dan ombak besar ini sudah tentu ia merbahayakan keselamatan pelancong,”beritahunya.
Justeru, penulis berharap dan mendoakan agar kedaan cuaca akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.
Ini keadaan, selain pelancong kebanyakan nelayan di negeri ini juga masih ‘berkurung’ di daratan kerana tidak dapat keluar ke laut mencari rezeki.
Manakala aktiviti dalam kalendar pelancongan kerajaan negeri termasuk yang terdekat pada Sabtu depan iaitu Swimathon Kapas-Marang dapat diteruskan tanpa sebarang halangan.
Leave a Reply