Enam Ahli Parlimen PN sertai misi bantuan ke Turkiye

SEBANYAK enam Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) diketuai Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan melaksanakan misi bantuan kemanusiaan mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.

Misi itu turut disertai enam sukarelawan daripada PasRelief dan Sekretariat Aid4 Turkiye Syria.

Tuan Ibrahim berkata, ini adalah misi kedua setelah yang pertama pada 16 hingga 22 Februari lalu dan akan memberi tumpuan kepada lokasi Hatay dan Kahramanras di Turkiye.

“Bantuan berfokus kepada program seperti membina semula lima buah rumah sederhana kekal daripada kontena yang bernilai RM30,000 sebuah. Kos diperuntukan untuk bantuan ini adalah sebanyak RM150,000.

“Kami juga, menyalurkan bantuan makanan dan pakaian untuk musim sejuk yang akan dihantar di kawasan sempadan dua negara terbabit. Peruntukan bantuan ini bernilai RM200,000.

“Buat masa ini, sebanyak RM350,000 telah diperuntukan dalam misi bantuan ini hasil daripada sumbangan ahli Parlimen PN dan juga orang ramai,” katanya.

Selain Tuan Ibrahim, misi itu disertai Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahya dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Turut serta Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh.

Tuan Ibrahim berkata, misi kali ini juga untuk melihat keperluan dan bantuan yang diperlukan mangsa di dua negara terbabit.

“Kita juga berharap dapat memberikan lebih banyak bantuan dan sumbangan kepada mangsa kerana musibah yang berlaku sangat dahsyat.

“Untuk bantuan jangka panjang, kita juga merancang untuk membina 100 rumah kontena untuk keperluan mangsa yang kehilangan tempat tinggal mereka terutama di Turkiye,” katanya.

Delegasi misi kemanusiaan itu yang turut disertai sukarelawan daripada PasRelief dan Sekretariat Aid4 Turkiye Syria, dijangka akan pulang ke tanah air pada 7 Mac ini.

Pada 6 Februari lalu, Turkiye dilanda dua gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 pada skala Richter yang berpusat di wilayah Kahramanmaras selatan negara itu dan kesannya turut menggegarkan negara jiran Syria.

Menurut angka rasmi terkini, kira-kira 50,000 orang terbunuh di kedua-dua negara berkenaan akibat bencana itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *