Penganggur didakwa edar dadah bernilai RM2.16 juta

SEORANG lelaki didakwa Mahkamah Majistret Kluang hari ini atas empat pertuduhan mengedar 43.17 kilogram dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM 2.16 juta, di daerah ini, pada dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh, Ng Kah Jun hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa mandarin dihadapan hakim, Mujib Saroji.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemuda berusia 27 tahun dan tidak bekerja itu didakwa mengedar 37.42 kilogram dadah jenis ekstasi, selain 3.24 kilogram eramin lima dan 2.5 kilogram dadah ketamin.

Menurut Astro Awani, kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam lebih kurang 1.30 petang, di sebuah rumah di Jalan Bidara 2, Taman Suria, di Kluang, pada 16 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang 15 sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia manakala tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *