DATUK Seri Johari Ghani (BN-Titiwangsa) menggesa kerajaan menyiasat peranan mereka yang terlibat dalam penyelesaian antara Putrajaya dengan Goldman Sachs berhubung skandal 1MDB, dan berkata Malaysia mungkin ditipu mengenai perkara itu.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Johari berkata, Goldman Sachs bertindak sebagai penasihat kewangan dan pengurus utama untuk tiga bon yang diterbitkan oleh 1MDB bernilai USD6.5 bilion, memperoleh yuran USD606 juta dalam proses itu.
Kerajaan pimpinan perdana menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020, mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs yang melibatkan bank pelaburan itu membayar balik kerajaan USD2.5 bilion tunai dan jaminan untuk mengembalikan USD1.4 bilion aset 1MDB yang dirampas pihak berkuasa di seluruh dunia.
“Yang pelik ini, kita dah tahu mereka salah, tetapi kenapa kita selesaikan ‘settlement’ ini dengan begitu rendah sekali.
“Kita selesaikan hanya USD2.5 bilion. Sedangkan kita ada USD6.5 bilion,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.
“Bagaimana peguam yang mewakili 1MDB (mendapat penyelesaian ini), sepatutnya apabila dia mewakili 1MDB dia mesti melihat kepentingan 1MDB,” katanya.
Johari berkata “sangat jelas” Goldman Sachs “menipu” kerajaan.
“Bagaimana boleh biar sahaja Goldman Sachs. Sedangkan ‘senior management’ Goldman Sachs terlibat dalam perkara ini”, katanya sambil menambah bahawa Jabatan Kehakiman ( DOJ) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan penglibatan kakitangan kanan bank itu dalam skandal 1MDB.
Johari berkata siasatan terhadap isu 1MDB hanya tertumpu pada aspek politik, menyebabkan hanya “seorang” ke mahkamah.
“Apakah yang berlaku kepada ahli pengurusan kanan (Goldman Sachs) yang memperoleh pendapatan berjuta-juta?” soalnya sambil menambah adalah salah bagi mereka yang terlibat dalam skandal itu melepaskan diri hanya dengan menawarkan diri mereka sebagai saksi dalam kes itu.
Beliau menyifatkan perkara yang berlaku itu seperti “kartun”, ramai yang terlibat tetapi hanya seorang yang terpaksa membayar harganya.
“Jadi saya nak minta kalau boleh kerajaan melihat bagaimana peranan peguam yang mewakili 1MDB.. siapa-siapa terlibat dalam rundingan ini,” katanya.
“Kenapa tidak fail saman Goldman Sachs di AS. Mengapa mereka berunding tanpa meletakkan fail (mengandungi bukti kesalahan Goldman Sachs),” katanya.
Johari berkata sekiranya 1MDB mengambil tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs di AS, bank itu akan menghadapi banyak tekanan kerana ia tidak boleh menjamin pinjaman.
“Mengapa kita mengorbankan wang yang sepatutnya kita peroleh daripada bank pelaburan nombor satu dunia. Mereka membuat keuntungan berbilion-bilion,” katanya.
Sebelum ini, Johari menuduh Goldman Sachs mengambil kesempatan daripada “rundingan lemah” oleh kerajaan Muhyiddin untuk menangguhkan pembayaran USD1.4 bilion kepada Putrajaya.
Beliau juga menggesa kerajaan mendedahkan terma perjanjian penyelesaian itu, di mana ia diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi yang menghalang ia daripada didedahkan kepada orang ramai.
Leave a Reply