Alahai…anak perempuan siapakah itu berpakaian tidak senonoh?

MALAM kelmarin ketika sedang asyik minum air kelapa dan ikan celup tepung di Pantai Ru Muda, Marang, tiba-tiba penulis dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan remaja lelaki dan wanita yang berkelakuan ‘luar biasa’.

Mereka datang ke pantai ini dengan menaiki beberapa buah motosikal jenis RXZ.

Penulis perhatikan, sebaik kumpulan remaja berkenaan berjalan menuju ke warung tempat penulis menjamu selera, boleh dikatakan kesemua mata pelanggan tidak berkelip memandang ke arah mereka.

Ini kerana, lima wanita remaja tersebut bukan sahaja comel dan berkulit putih melepak, tetapi ‘luar biasanya’ ialah berpakaian ketat dan seksi, cuma bahagian kepala sahaja bertudung.

Malah, kemeja berlengan pendek turut menampakkan pusat. Begitu juga pada bahagian dada yang tidak berbutang.

Pada mulanya penulis menyangkakan remaja dalam lingkungan usia belasan tahun itu anak ‘mat saleh’ (bangsa asing) yang melancong ke Pulau Kapas.

Namun, setelah mendengar loghat percakapan, ternyata mereka adalah anak-anak jati Terengganu.

Mereka berjalan, bergaul, bercakap dan bergurau senda dengan pasangan masing-masing tanpa menghiraukan pelanggan lain di warung itu.

Kumpulan remaja terbabit juga tidak segan silu bertepuk tampar sesama sendiri, lalu sesekali gelak tawa sang wanita pula lebih nyaring daripada ‘langsuir’.

Ketika itu, penulis mula terdengar bisikan dalam kalangan pelanggan di warung itu yang secara menyindir berteka teki, dari manakah datangnya kumpulan remaja berkenaan sama ada planet Marikh atau Pluto?

Teka teki itu terhasil memandangkan wajah remaja lelaki terbabit bukan sahaja kelihatan buruk, tetapi pakaian mereka pula koyak rabak di sana sini, ditambah pula dengan telinga dan hidung ada yang bersubang.

Lantas hati kecil penulis lalu bertanya sendirian “alahai…anak perempuan siapakah itu sanggup menggadai maruah diri tanpa pengawasan keluarga, bebas berkeliaran pada waktu malam.”

Apa yang menimbulkan persoalan, kenapakah gadis secantik itu sanggup berdampingan dengan lelaki tidak senonoh.

Apakah tiada lelaki lain untuk dijadikan kekasih atau kawan atau apakah ini yang dikatakan kebebasan?

Melihat keadaan ini, lalu penulis teringat kata-kata seorang kawan beberapa bulan lalu.

Petikan dari sebuah filem tempatan yang dipertikaikan dan menjadi kontroversi

Katanya, sekarang ini untuk mencari seorang isteri terlalu sukar dan bagi sesetengah wanita pula mereka dikatakan semakin terdesak apabila ‘spesis’ lelaki yang boleh menjadi pembimbing juga agak berkurangan.

Justeru, sepertimana rakyat Terengganu lain, penulis turut bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk menguatkuasakan tindakan terhadap individu Muslim berpakaian tidak senonoh di tempat awam.

Ia perlu bertujuan ke arah membendung masalah gejala sosial terutama dalam kalangan golongan remaja.

Maka itu, berpakaian tidak senonoh seperti terlalu ketat sehingga menampakkan susuk tubuh serta menampakkan dada dan pusat perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

Kerajaan Terengganu sebelum ini memaklumkan bahawa individu Muslim di negeri ini yang berpakaian tidak senonoh bakal berdepan tindakan selepas penguatkuasaan peruntukan terhadap kesalahan yang melanggar enakmen jenayah syariah di negeri ini dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sebelum ini mereka yang ditahan kerana berpakaian tidak senonoh hanya diberi nasihat oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Hanafiah Mat

Memadangkan pendekatan yang diambil lebih kepada nasihat, maka belum ada individu dikenakan tindakan.

Justeru, selepas ini mungkin telah tiba masanya kerajaan negeri akan menguatkuasakan pelaksanaan undang-undang tersebut.

Sebelum ini tindakan telah diambil ke atas penunggang dan pembonceng motosikal bukan mahram yang menaiki motosikal bersama-sama.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu 1 Disember tahun lalu telah meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022 bagi memperkasakan pelaksanaan undang-undang syariah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, pindaan itu juga bertujuan menambah baik Enakmen Kesalahan Syariah Jenayah (Takzir) Terengganu 2001 yang merangkumi tambahan empat seksyen baharu dan 21 pindaan seksyen sedia ada.

Saiful Bahri Mamat

Ia turut merangkumi tambahan peruntukan terhadap Seksyen 34 iaitu perbuatan atau berpakaian tidak sopan di tempat awam dan Seksyen 35 iaitu menjadi kesalahan terhadap mana-mana orang yang mendedahkan mana-mana bahagian tubuhnya yang pada pandangan umum menimbulkan ghairah di mana-mana tempat awam.

Jika disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Kalau dilihat kepada perkembangan golongan remaja kita sekarang ia amat membimbangkan dan kita tidak dapat bayangkan bagaimanakah wajah dan keadaan anak-anak kita pada masa hadapan?

Oleh itu, marilah kita sama-sama merenungi perkara ini agar nasi yang sudah menjadi bubur masih lagi mampu dinikmati selepas diadunkan dengan perencah lebih sesuai demi memastikan bangsa Melayu dan umat Islam terus cemerlang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *