Guru didakwa laku amang seksual terhadap murid 11 tahun

SEORANG guru di sebuah pusat pendidikan Islam didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang murid perempuan berusia 11 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Zakri Amirsah, 29, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, menurut Berita Harian.

Dia yang mula mengajar di sekolah terbabit pada akhir 2021 didakwa melakukan perbuatan itu sejak Mac 2022 hingga Januari lalu ketika mengajar mangsa membaca Iqra dalam bilik guru muslimin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, sesi mengaji sebelum ini diadakan setiap Sabtu dan Ahad pada waktu siang di surau berkenaan, namun tertuduh menukar waktu itu sekitar Mac 2022 kepada malam Isnin dan Selasa.

Mangsa menghadiri kelas mengaji berkenaan bersama seorang adik lelakinya.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Ia dibaca bersama Seksyen 16(c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun dan rotan tidak kurang dua sebatan.

Terdahulu, mahkamah membenarkan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin.

Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus dan Najiha Farhana Che Amat mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 Mac depan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *