Golongan M40 diberi pengurangan cukai individu dua peratus

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, bermula tahun ini, kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna golongan pertengahan M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu sebanyak dua peratus.

Menurut Perdana Menteri, pengurangan cukai itu membabitkan banjaran antara lebih RM35,000 hingga RM100,000.

“Selama ini, golongan B40 sering diberikan pelbagai bentuk bantuan sementara kumpulan pertengahan, M40 menunjukkan kesabaran mereka meski terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang mencengkam.

“Pengurangan ini (kadar cukai) dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sementara M40 mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai, kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga 2 peratus membabitkan lebih RM100, 000 hingga RM1 juta.

Namun katanya, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menambah, menerusi pendekatan itu, cukai bersih kerajaan berkurang sebanyak RM900 juta yang dimanfaatkan sepenuhnya rakyat, khususnya golongan M40.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *