‘Biarkanlah… dia terdesak cari tempat’, kata Hamzah

TINDAKAN Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang cuba bermain dua kolam diselar Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyifatkan langkah bekas pemimpin Bersatu itu sebagai terdesak.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Bersatu menegaskan, tindakan Mukhriz yang cuba meminta kerusi termasuk mahu bekerjasama dengan kedua belah pihak cuma mahu menjamin kelangsungan karier bekas Ahli Parlimen Jerlun sebagai ahli politik.

Katanya, dalam keadaan terdesak sekarang, itu tindakan biasa yang akan dilakukan orang politik seperti Mukhriz agar dapat terus ‘hidup’ dalam kancah politik negara.

“Maknanya dia desprate (terdesak) sekarang untuk mencari tempat. Biarkanlah.

“Tak apalah, sebagai orang politik dia terpaksa supaya dia boleh bergantung hidup (dengan parti politik lain),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian.

Ketua Pembangkang itu diminta mengulas cubaan Mukhriz bermain dua kolam dengan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PN dan PH, untuk mengadakan kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

BH semalam melaporkan kenyataan sumber PN Kedah yang rapat dengan bekas menteri besar Kedah itu mengenai permintaan berhubung peruntukan sejumlah kerusi dibuat Mukhriz sewaktu bertemu dengan kepemimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan berlaku pertemuan antara Mukhriz bersama kepemimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar turut mengesahkan Mukhriz ada bertemunya di ibu negara kira-kira dua bulan lalu, bagi membincangkan mengenai ruang kerjasama antara Pejuang dan PH bagi menghadapi PRN Kedah.

Namun, Mahfuz menyarankan Mukhriz bertemu secara terus dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana isu mengenai kerjasama dalam PRN hanya boleh diputuskan oleh Majlis Presiden PH.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *