BEKAS pembantu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman mengumumkan akan bertanding jawatan exco Pemuda UMNO pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Kata ahli UMNO bahagian Temerloh itu, beliau mengambil keputusan untuk bergerak aktif dalam Pemuda UMNO bagi memastikan sayap parti itu menjadi satu suara yang berani dalam parti dan memperjuangkan isu-isu rakyat.
“Alhamdulillah. Saya telah menghantar borang pencalonan untuk bertanding jawatan Exco Pemuda UMNO Malaysia.
“Walaupun UMNO membentuk kerajaan perpaduan, namun Pemuda UMNO harus meneruskan peranan sebagai ejen semak imbang kepada kerajaan seperti yang dilakukan oleh pimpinan Pemuda sekarang,” katanya dalam kenyataan, lapor Malaysiakini.
Rahimi pernah terlibat dalam PKR dan menjadi pembantu Anwar pada tahun 2007 dan 2008.
Pada 2010, dia mencuri tumpuan apabila mendakwa Ketua Penerangan PKR ketika itu, Latheefa Koya dan Ketua Pemuda PKR Kedah, Saiful Izham Ramli memaksanya membuat dua laporan bersumpah pada tahun 2008.
Dalam laporan polisnya, Rahimi mendakwa akuan bersumpah berkenaan dipinda kandungannya untuk memalit dan memfitnah perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor dalam kes liwat membabitkan Anwar pada 2008.
Rahimi adalah rakan sekolah Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa menjadi mangsa liwat kepada presiden PKR itu.
Anwar menafikan dakwaan berkenaan dan mengatakan ia merupakan konspirasi politik untuk memusnahkan karier politiknya.
Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Anwar dan beliau dipenjarakan atas kesalahan tersebut, sehingga diberi pengampunan diraja pada tahun 2018.
Pada PRU 2018, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar menjalinkan kerjasama politik dan berjaya menumbangkan kerajaan UMNO-BN pimpinan Najib Razak.
Najib yang terpalit dengan skandal 1MDB sebelum itu kemudiannya dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, yang juga merupakan anak syarikat 1MDB.
Selepas meninggalkan PKR, Rahimi bergiat dalam UMNO dan menjadi Koordinator Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Najib, sebuah NGO yang ditubuhkan bagi mendesak pembebasan bekas perdana menteri itu.
Sementara itu, Rahimi berkata dalam mencari kesefahaman antara parti kerajaan perpaduan, Pemuda Umno harus memastikan bahawa asas perjuangan parti itu tidak terhakis dan tidak dikompromi.
“Kerana UMNO adalah punca dan tempat berpaut orang Melayu sejak merdeka.
“Selain itu Pemuda juga harus menjadi benteng mempertahankan maruah dan institusi parti dari serangan dan fitnah pihak lawan.
“Ini merupakan penggal terakhir saya dalam Pemuda UMNO, saya juga mahu membantu melatih dan mendidik generasi pemuda selepas ini untuk terus berani dan lantang bersuara,” katanya.
Leave a Reply