EMPAT individu berdepan detik cemas apabila kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan dengan kereta jenis Mercedes Benz di Kilometer 3 Jambatan Pulau Pinang berdekatan kawasan perusahaan Perai, awal pagi tadi.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam.
Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.08 pagi.
Menurutnya, operasi menyelamat mangsa membabitkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai.
“Peratusan kemusnahan kebakaran kereta terbabit dianggarkan hampir 100 peratus. Terdapat empat orang mangsa dan mereka berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 1.19 pagi dan berjaya dipadamkan sepenuhnya kurang lima minit kemudian,” katanya kepada kepada pemberita hari ini.
Operasi tersebut tamat sepenuhnya pukul 2.20 pagi dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Leave a Reply