Tag: kereta terbakar

  • 4 terselamat Perodua Axia terbakar

    4 terselamat Perodua Axia terbakar

    EMPAT individu berdepan detik cemas apabila kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan dengan kereta jenis Mercedes Benz di Kilometer 3 Jambatan Pulau Pinang berdekatan kawasan perusahaan Perai, awal pagi tadi.

    Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam.

    Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.08 pagi.

    Menurutnya, operasi menyelamat mangsa membabitkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai.

    “Peratusan kemusnahan kebakaran kereta terbabit dianggarkan hampir 100 peratus. Terdapat empat orang mangsa dan mereka berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

    “Kebakaran dapat dikawal pada pukul 1.19 pagi dan berjaya dipadamkan sepenuhnya kurang lima minit kemudian,” katanya kepada kepada pemberita hari ini.

    Operasi tersebut tamat sepenuhnya pukul 2.20 pagi dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

  • Dua rentung terperangkap, kereta terbakar bertembung lori

    Dua rentung terperangkap, kereta terbakar bertembung lori

    DUA individu rentung selepas terperangkap dalam kereta dinaiki yang terbakar akibat kemalangan dengan sebuah lori di Kampung Datuk Sharif Ahmad, Jalan Temerloh, Kuala Krau, hari ini.

    Kejadian pada pukul 10.48 pagi itu mengakibatkan kereta terlibat terbakar sepenuhnya.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, terdapat dua mangsa tersepit dalam kereta itu.

    “Kereta itu terbakar 100 peratus manakala lori mengalami kemusnahan 80 peratus.

    “Seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau dan Temerloh dengan tiga jentera memadam kebakaran itu,” katanya, lapor Harian Metro

    Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 11.46 pagi dan operasi mengeluarkan mangsa dijalankan.

    Katanya, mangsa yang tersepit ditemukan rentung dan mayat diserahkan kepada polis.

  • Lebuh raya PLUS sesak 17 km kereta terbakar

    Lebuh raya PLUS sesak 17 km kereta terbakar

    LEBUH Raya Utara Selatan (PLUS) mengalami kesesakan sejauh 17 kilometer hari ini selepas sebuah kereta yang terbakar di Kilometer (KM) 259 Arah Selatan dari Kuala Kangsar ke Ipoh.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.09 petang.

    Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dengan bantuan BBP Meru Raya dikerahkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja pemadaman api.

    “Kebakaran melibatkan kenderaan jenis BMW yang telah musnah terbakar 90 peratus dan tidak melibatkan mangsa.

    “Pasukan bomba melakukan kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan dua aliran air dari tangki jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

    Menurutnya operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Syed Azrul Hizam Syed Abdul Aziz itu tamat pada pukul 5.04 minit.

    Sementara itu PLUSTrafik menerusi hantaran di laman Twitter hari ini memaklumkan kejadian berkenaan mengakibatkan lorong kiri terpaksa ditutup dan menyebabkan kesesakkan lalu lintas sejauh 17 km.

  • Awak keluar dulu, ungkapan terakhir isteri kepada suami

    Awak keluar dulu, ungkapan terakhir isteri kepada suami

    “Awak keluar dulu,” itu ungkapan terakhir Nurul Nazihah Kamalul Arifin kepada suaminya sejurus kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Sedenak, malam tadi.

    Redzuan Jamil, 28, berkata, dia yang berjaya ditarik keluar orang ramai melalui tingkap bahagian penumpang belakang itu kemudian cuba menyelamatkan isterinya.

    “Namun cubaan saya menyelamatkan isteri dengan memecahkan cermin hadapan kereta dan pintu penumpang hadapan tidak berjaya malah isteri tersepit di tempat duduk hadapan.

    “Ketika itu tangki minyak kereta tiba-tiba meletup menyebabkan orang ramai menarik saya kerana api terlalu marak.

    “Walaupun api marak namun saya tidak merasa bahang panas api malah isteri juga tidak memanggil nama saya apatah lagi meraung selepas dia meminta saya keluar menyelamatkan diri dahulu,” katanya, lapor Harian Metro.

    Malam tadi tular video menyayat hati seorang suami yang menjerit dan merintih memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan yang sedang marak terbakar.

    Video berdurasi satu minit 37 saat itu memperlihatkan lelaki itu memanggil isterinya dan menyatakan tidak akan meninggalkan isterinya.

    Dalam kemalangan ngeri kira-kira pukul 7.45 malam tadi itu, dua individu maut dalam kenderaan yang marak terbakar selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan babitkan lima kenderaan di lebuh raya berkenaan.

    Identiti seorang lagi mangsa yang maut dari kereta berasingan masih belum dapat dikenal pasti.

    Redzuan yang mengalami kesan melecur di muka ketika menceritakan detik-detik kemalangan berlaku berkata, semuanya bermula selepas berlaku kesesakan di lebuh raya berikutan kemalangan yang berlaku berhampiran kawasan itu.

    “Ketika itu semua kenderaan berhenti kerana berlaku kesesakan. Namun tiba-tiba berlaku impak rempuhan dari belakang yang menyebabkan kereta saya serta dua lagi dilanggar dengan kuat.

    “Selepas beberapa ketika barulah saya menyedari sebuah lori lima tan merempuh kereta dinaiki kami sebelum orang ramai menarik saya keluar dari kereta,” katanya.

    Redzuan yang juga ejen insurans berkata, ketika kejadian malang itu, dia dan isterinya baru selesai bertemu pelanggan di Kluang.

    Katanya, beliau dan isteri dalam perjalanan ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri bagi menyaksikan JDT menentang Sabah FC.

    “Namun saya tidak menyangka insiden memilukan ini pula menimpa kami,” katanya.

    Redzuan berkata, dia sering membawa isterinya ke mana sahaja termasuk ketika urusan bertemu pelanggan.

    “Kami memang akan berdua ke mana sahaja sejak berkahwin tiga tahun lalu termasuk atas urusan kerja.

    “Saya tidak menyangka isteri akhirnya pergi dengan cara begini,” katanya tidak dapat menahan sebak.

  • Wanita rentung kereta dipandu terbakar terbabit nahas

    Wanita rentung kereta dipandu terbakar terbabit nahas

    SEORANG pemandu wanita rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Nanga Medamit, dekat sini, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang dan polis di tempat kejadian mengenal pasti mangsa, Dorris Serudin, 55, yang memandu kereta jenis Proton Saga manakala pemandu lelaki kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux cedera.

    Komander operasi dari BBP Limbang  Awangku Mohd Hazman Awang Zainal, berkata, setiba di lokasi kejadian, kereta Proton Saga itu terbakar dan kenderaan Hilux terbabas di tepi jalan.

    “Selepas pemadaman selesai, pasukan bomba mendapati pemandu kereta Proton Saga rentung di dalam kenderaan itu sebelum mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya

    Menurutnya, pemandu lelaki kenderaan pacuan empat roda itu yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital oleh orang ramai untuk menerima rawatan.  – BERNAMA