Kes kartel daging: Syarikat, pengarah didenda RM1.6 juta

MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini menjatuhi hukuman denda sebanyak RM1.6 juta terhadap syarikat pembekal daging sejuk beku, LY Frozen Food Sdn Bhd dan seorang pengarahnya yang terbabit dalam kes kartel daging lebih dua tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Hakim Fatimah Zahari menjatuhkan hukuman itu selepas Pegarah LY Frozen Food, Yong Chee Keong, 42, mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan syarikat sejuk beku itu.

Hakim dalam keputusannya memerintahkan Chee Keong yang mewakili syarikat sejuk beku itu untuk membayar denda RM1.5 juta terhadap tujuh pertuduhan dikenakan pada LY Frozen Food.

Chee Keong turut diperintahkan membayar denda RM100,000 terhadap tujuh pertuduhan terhadapnya dan jika gagal, dipenjarakan selama enam bulan.

Sementara itu, semua tujuh pertuduhan yang didakwa terhadap Pengurus LY Frozen Food, Chong Kim Kuang, 50, pula ditarik balik atas arahan Jabatan Peguam Negara, berikutan statusnya hanya sebagai pekerja syarikat sejuk beku itu.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan seorang lagi Pengarah LY Frozen Food yang masih bebas, Tan Siew Huak, 44, supaya dilepas tanpa dibebaskan, sehingga dia ditemui.

Ia berikutan permohonan pihak pendakwaan yang tetap mahu meneruskan semua tujuh pertuduhan kes itu terhadap Siew Huak, selepas diarahkan Jabatan Peguam Negara.

Pada 9 Februari 2021, LY Frozen Food, Chee Keong dan Siew Huak, yang masih bebas didakwa menggunakan, memiliki dan menawarkan 3,418 kotak makanan sejuk beku menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan dua syarikat pembekal dari Australia selain menggunakan logo halal palsu serta menggunakan logo halal tanpa kelulusan daripada badan persijilan halal Australia.

Kesalahan itu dilakukan di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai di sini antara 1 hingga 3 Disember 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh didenda antara RM100,000 hingga RM500,000 atau dipenjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Sophian Zakaria, Syazwani Zawawi, Mas Syafiqah Maarob dan Kee Shu Min.

Tertuduh pula diwakili barisan peguam Zamri Idrus dan Fadly Hashim.

Pada 2 Disember 2020, media melaporkan mengenai kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kartel berkenaan kemudian membungkus semula daging itu menggunakan logo halal sebelum menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia sebelum ia terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, di Johor Bahru.

Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal.

Ia membabitkan rampasan bernilai lebih kurang RM 6.47 juta.

Kes yang menggemparkan negara itu menjalani perbicaraan sejak 9 Februari 2021, mengemukakan 10 saksi pendakwaan selain puluhan ribu eksibit termasuk membabitkan kotak bungkusan daging dengan tanda logo halal palsu.

Pada 15 Februari lalu, Mahkamah Sesyen, dilaporkan melepas dan membebaskan LY Frozen Food bersama Pengurus Chong Kim Kuang, 50, dan akauntannya, Ng Yee Xin, 39, terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM12.9 juta, antara Oktober 2018 hingga Disember 2020.

Keputusan itu dibuat Hakim Fatimah Zahari selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan terhadap Syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd, pengurus dan akauntannya.

Pendakwaan menarik balik kesemua 12 pertuduhan terhadap tiga tertuduh berkenaan selepas semua mereka membayar kompaun keseluruhan yang bernilai RM1.5 juta.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *