Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan rasuah kes Jana Wibawa

KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengalu tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM6.9 juta berhubung inisiatif Jana Wibawa.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu juga didakwa meminta satu jumlah yang tidak ditentukan untuk projek jalan raya bernilai RM232 juta.

Beliau membuat pengakuan berkenaan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di mahkamah sesyen di sini di hadapan hakim Azura Alwi, lapor Astro Awani.

Mengikut kertas pertuduhan, bagi pertuduhan pertama, beliau dituduh meminta rasuah berbentuk suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Central Spine Road Sertik ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara Pra-Kelayakan yang jumlah keseluruhannya bernilai RM232,000,000.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 Akta 694 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Bagi pertuduhan kedua, Wan Saiful secara rasuah menerima bagi diri kamu suatu suapan, iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694 pada 08 Julai 2022 hingga 30 September 2022 di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Wan Saiful diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Mahkamah mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai dan dia diarahkan melaporkan kepada ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap dua bulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000.

Kes akan disebut semula 22 Mac 2023.

Wan Saiful ditahan pada malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Turut didakwa Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Muhammad.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *