Fokus tingkatkan khidmat kesihatan rakyat berbanding isu lain

DI mana-mana negara pun, isu kesihatan adalah perkara penting yang sering dititikberatkan kerana ia berkait secara langsung dengan nyawa manusia.

Oleh sebab itu, apabila berlaku apa-apa isu yang berkaitan dengan soal kesihatan, ia akan sentiasa mendapat perhatian daripada rakyat.

Baru-baru ini apabila ada pesakit yang mengamuk di Hospital Serdang kerana terpaksa menunggu terlalu lama, maka kita dapat merasai apa yang dilalui oleh pesakit itu.

Ini kerana bagi rakyat biasa yang bergantung kepada rawatan di hospital kerajaan, menunggu lama itu adalah kebiasaan dan sudah menjadi budaya.

Tok Chey sendiri apabila mahu mendapatkan rawatan di klinik kerajaan sebagai pesakit luar perlu mengambil cuti sehari kerana proses untuk menunggu sebelum dapat berjumpa doktor adalah terlalu lama.

Ditambah pula dengan ruang menunggu yang sesak dengan pesakit yang datang dengan segala macam penyakit, keadaan di ruang menunggu sebenarnya membuat pesakit bertambah tertekan.

Jika melibatkan penyakit yang memerlukan pandangan doktor pakar, maka temujanji memakan masa berbulan-bulan belum lagi penentuan tarikh untuk pembedahan dan sebagainya.

Itu belum lagi menyentuh isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) hospital yang sering menimbulkan rungutan daripada orang ramai yang kurang berpuas hati dengan situasi yang berlaku ketika ini.

Semua itu disebabkan sistem kesihatan negara kita yang semakin kritikal berdasarkan nisbah terkini seorang doktor untuk 1,000 pesakit, jauh daripada sasaran kerajaan iaitu 1:400 pesakit menjelang tahun 2025.

Rentetan kelemahan ini, yang menjadi mangsa ialah doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang terpaksa bekerja melebihi kemampuan menyebabkan mereka sentiasa tertekan dan mahu berhenti kerja atau ‘lari’ bekerja di luar negara.

Makin merumitkan keadaan apabila masalah yang membelenggu doktor kontrak masih belum ditangani dengan berkesan hingga tercetus khabar angin mengatakan akan berlaku mogok menuntut beberapa jaminan kerajaan dalam masa depan kerjaya mereka.

Walaupun menteri kesihatan kerajaan perpaduan sudah mengeluarkan kenyataan dan cadangan untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan, ia dilihat sekadar cantik di atas kertas kerana tidak dapat menyelesaikan isu berbangkit secara total.

Maka, rakyat secara keseluruhannya amat mengharapkan pimpinan kerajaan ketika ini supaya lebih agresif untuk menyelesaikan masalah yang berlaku bagi mengelakkan sistem kesihatan awam menjadi lebih kritikal.

Usah jadikan alasan masalah yang berlaku adalah warisan kerajaan terdahulu kerana menteri yang dilantik dan kerajaan yang dipilih adalah untuk menjaga kebajikan rakyat.

Fokus kepada apa yang rakyat mahukan dan bukannya kepada perkara lepas yang sudah terbukti berkesan dalam melindungi nyawa rakyat.

Contohnya, rakyat amat berterima kasih kepada tindakan kerajaan sebelum ini yang proaktif dalam melindungi nyawa rakyat melalui pemberian vaksin Covid-19 yang sudah terbukti dapat membawa rakyat Malaysia mengharungi badai pandemik dua tahun lalu.

Walaupun ada yang meninggal dunia akibat daripada virus itu, kita harus bersyukur kerana ramai lagi yang berjaya dihindarkan daripada musibah berkenaan melalui sistem kawalan dan operasi agihan vaksin yang efisien.

Oleh itu, dengan beria-ia mahu mendedahkan kertas putih perolehan vaksin di Parlimen akan dianggap oleh rakyat sebagai ada agenda tertentu untuk mencari kesalahan kepimpinan kerajaan yang terdahulu.

Adalah lebih baik pasukan khas yang ditubuhkan untuk meneliti kertas putih itu fokuskan tenaga, masa dan kepakaran mereka bagaimana untuk melipatgandakan usaha dalam memberi perkhidmatan yang lebih baik di hospital-hospital kerajaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *