SEORANG kanak-kanak perempuan ditemui lemas ketika bermandi manda di kolam renang sebuah inap desa (homestay) di Kampung Pulai, Merlimau, pukul 10.50 pagi semalam.
Mangsa, Auni Falisha Muhammad Firdaus yang berusia tiga tahun itu dikatakan pergi ke inap desa yang berhampiran kediamannya bersama abangnya yang berumur lima tahun.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati dua beradik itu berjalan kira-kira 500 meter ke inap desa berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya.
“Hasil siasatan mendapati mangsa bersama abangnya yang berumur lima tahun telah berjalan kaki ke kolam renang yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari rumah mereka tanpa sebarang pengetahuan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.
“Kolam renang itu adalah hak milik ahli keluarga si mati sendiri dan semasa kejadian didapati tiada pelanggan yang mengunjungi dan berada di kolam renang tersebut,” katanya metika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kejadian itu disedari selepas abang mangsa pulang ke rumah dalam keadaan basah dan memaklumkan adiknya berada di kolam renang sendirian.
Ibunya kemudian menghubungi rakan sekerja dan meminta bantuan untuk pergi ke kolam renang tersebut bagi melihat keadaan kanak-kanak itu.
“Semasa rakan ibu bapanya tiba di kolam renang mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap dalam kolam renang dan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan secara fizikal ke atas mayat mangsa mendapati tiada sebarang kesan perbuatan jenayah dan bedah siasat telah dilakukan,” tambahnya lapor Astro Awani.
Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Leave a Reply