Lelaki diberkas edar 43.17 kg dadah bernilai RM2.16 juta

SEORANG lelaki yang sebelum ini licik dalam pengedaran dadah, namun akhirnya berjaya dicekup polis dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 petang ke atas sebuah rumah sewa di Kluang, Khamis lalu.

Antara taktik yang digunakan suspek yang berusia 27 tahun itu untuk mengaburi pihak berkuasa dengan membungkus dadah tersebut dalam bungkusan teh.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan itu polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.16 juta, antaranya 35.74 kilogram (kg) serbuk ekstasi, ketamin (2.52 kg), 10,800 biji pil erimin 5 (3.24 kg) dan 4,869 biji pil ekstasi (1.67 kg).

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah melancarkan empat serbuan ke atas empat buah rumah di sekitar Kluang.

“Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun ditangkap dan dadah berkenaan dirampas dalam serbuan pertama. Tiga serbuan berikutnya kita tidak menemukan apa-apa barang kes,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

Katanya, modus operandi yang digunakan suspek yang aktif sejak November tahun lalu dengan menjadikan rumah yang disewa sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan dalam pasaran tempatan.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut tentang penglibatan individu lain termasuk penyewa rumah dengan suspek dalam kegiatan itu.

“Hasil siasatan awal kita mendapati, kesemua rumah terbabit adalah disewa oleh individu lain dan kita masih melakukan siasatan terhadap hubungan mereka.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif penyalahgunaan dadah katanya dan memaklumkan pihak polis turut merampas empat buah kereta, termasuk sebuah kereta Proton Persona yang didaftarkan atas nama suspek.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 23 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 lapor SatuBerita.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *