Dr Mahathir kritik parti anak sendiri

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diterajui anaknya sendiri, lebih mengutamakan parti lain terkait rasuah berbanding terus bersama Gerakan Tanah Air (GTA).

Menurut bekas Pengerusi Pejuang itu, beliau hairan kenapa parti diketuai anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai presiden, sanggup bertindak untuk keluar GTA yang mana pemimpinnya langsung tidak terpalit dengan rasuah.

Katanya, beliau turut mengakui kecewa dengan keputusan Pejuang untuk keluar dari GTA.

“Kita cuba nak cantumkan orang Melayu yang bersih rasuah menerusi GTA kerana parti yang besar semua terbabit dengan rasuah.

“Parti kecil yang tinggal sekarang hanyalah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN),” katanya pada sidang media, di Putrajaya semalam, lapor Berita Harian.

Mengulas mengenai reaksi Mukhriz berhubung perkara itu, bekas Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Saya tak tahu, itu pemikiran dia (Mukhriz),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Dr Mahathir bersama 12 ahli lain memutuskan untuk keluar daripada Pejuang, difahamkan kerana kecew parti itu memutuskan hubungan dengan GTA.

Pejuang ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu pada Ogos 2020 sebelum beliau meletak jawatan sebagai pengerusinya pada Disember tahun lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *