SEORANG lelaki maut selepas dipercayai menjadi mangsa tembakan dilepaskan abang dan adiknya ketika mereka keluar berburu di kawasan hutan berdekatan Sungai Boyuh, Kampung Jugan di Bau, malam kelmarin.
Terdapat 43 kesan tembakan peluru penabur pada badan, tangan dan paha mangsa berusia 49 tahun itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon, polis dihubungi pihak Hospital Bau memaklumkan seorang lelaki tempatan meninggal dunia akibat terkena tembakan ketika berburu pada pukul 11.45 malam.
“Sehubungan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menahan dua lelaki berusia 40 dan 50 tahun iaitu abang dan adik mangsa pada pukul 5 petang semalam.
“Pihak polis kemudian merampas dua laras senapang patah buatan sendiri, sebutir kelongsong peluru dan sejumlah peluru hidup,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.
Nyaon berkata, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah dibawa ke mahkamah Bau untuk dimohon tahanan reman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya.
Leave a Reply